DUN Chini kekal milik BN
PEKAN - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menepati ramalan apabila Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu menerusi kemenangan besar calonnya, Mohd Sharim Md Zain.
Mohd Sharim menang selesa dengan majoriti 12,650 undi apabila memperoleh 13,872 undi manakala dua pencabarnya dari Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli hilang wang deposit.
Tengku Zainul Hisham hanya memperoleh 1,222 undi manakala Mohd Shukri Mohd Ramli dengan 137 undi sementara 239 undi ditolak.
Keputusan rasmi PRK DUN Chini diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK DUN Chini, Datuk Zaliza Zulkifli di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai di sini jam 9 malam ini.
Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Chini merekodkan 73.87 peratus melepasi sasaran SPR sebelum ini 70 peratus.
PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung, 6 Mei lalu.
Pada PRU14, Allahyarham Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor yang mendapat 5,405 undi manakala calon PKR, Mohamad Razali Ithnain hilang wang deposit apabila hanya memperoleh 1,065 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!