Isyarat politik dari Chini

A
A
A
Terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar Pekan, Chini yang boleh dikategorikan sebagai kawasan luar bandar bukanlah destinasi tumpuan utama pelancong dan hab ekonomi Negeri Pahang, namun Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tetap signifikan kepada perjalanan politik Malaysia hari ini.

Apa tidaknya, PRK itu adalah PRK pertama diadakan selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang di Putrajaya pada hujung Februari lalu dan pertandingan itu diadakan ketika negara dan dunia sedang bergelut dengan wabak koronavirus (Covid-19).

PRK itu juga adalah ‘ujian kecil’ pertama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) bagi menyukat tahap sokongan mereka dalam kalangan orang Melayu kerana 91 peratus pengundi di DUN Chini adalah daripada golongan itu.Ketika PH sedang kuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalupun, calon PH cuma mendapat 1,065 undi dan hilang wang deposit. Oleh itu, sejak dari awal lagi, pemenang PRK DUN Chini sudah pun dijangka.

Persoalan utama sekarang, apakah yang boleh kita simpulkan daripada kemenangan PN pada PRK DUN Chini ini?Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, kawasan DUN Chini sukar ditembusi pihak lawan kerana kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak turun-temurun dan juga terletak di bawah Parlimen Pekan yang diwakili oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.Najib sejak hari pertama tidak berhenti-henti berkempen di DUN Chini. Walaupun kemenangan PN sudah pun dipaku kemas, mungkin Najib tidak mahu peratusan kemenangan PRU14 lalu menurun walaupun satu undi.

Kata Sivamurugan lagi, kemenangan PN disumbangkan oleh faktor calon, Mohd Shahrim Md Zain, 41, yang juga generasi kedua Felda Chini dan merupakan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan. Kira-kira 82 peratus kaum Melayu di DUN Chini tinggal di Felda.

Jentera bersepadu

“Kemenangan calon BN bukan di luar jangka kerana pendekatan kempen holistik, jentera bersepadu Muafakat Nasional (MN), guna tenaga parti dan populariti Najib.

“Keputusan PRK DUN Chini tidak boleh disifatkan sebagai indikator PRU akan datang kerana demografi dan geografi yang berbeza,” katanya.

Sivamurugan berada di DUN Chini sejak beberapa hari lalu bagi memerhatikan kempen saat akhir parti bertanding.
Artikel Berkaitan:


Selain itu, Sivamurugan berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding PRU14 lalu juga tidak boleh dilihat sebagai tanda tidak menyokong PN kerana PRK itu tidak akan mengubah kerajaan negeri Pahang.

PRK itu juga menarik kerana terdapat banyak perkara yang pertama kali berlaku seperti tiada calon daripada PH, pertama kali prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pertama kali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bekerjasama dengan MN.

Ketika negara sedang bergelut mengekang penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, ratusan ribu orang hilang pekerjaan kerana tempat kerja mereka gulung tikar ataupun melaksanakan langkah mengurangkan jumlah pekerja.

Krisis ekonomi tersebut memberi kesan yang amat dahsyat kepada negara, namun dengan langkah-langkah segera dilaksanakan kerajaan melalui pakej Bantuan Prihatin Nasional (BPN), sedikit sebanyak ia melegakan orang ramai terutamanya kelompok B40.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan rakyat yang tinggi kepada kerajaan khususnya pengundi DUN Chini pada ketika ini adalah kerana langkah yang pantas dan tepat ketika menangani Covid-19.

Katanya lagi, nilai kepimpinan yang ada pada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri juga menyumbang kepada kemenangan besar PN pada PRK kali ini.

“Ini adalah PRK pertama kerajaan PN. Pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kepada rakyat merupakan langkah terbaik serta sedikit sebanyak PRK DUN Chini memberi gambaran mengenai PRU15 yang akan datang,” katanya.

BPN adalah salah satu bantuan yang disediakan oleh kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diberikan secara one-off kepada golongan B40 dan M40. Setakat 26 Jun lalu, seramai 10.215 juta orang sudah menerima BPN membabitkan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM10.90 bilion.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata, isyarat paling penting yang dapat diambil daripada PRK DUN Chini ialah orang muda mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Katanya, keupayaan kerajaan PN mengurus wabak Covid-19 dengan baik selain pakej-pakej rangsangan ekonomi yang tepat juga telah memberi keyakinan kepada pengundi di DUN Chini.

Ramalan PRU15

Selain itu, kata Mohd Farid, PN juga diterima rakyat kerana pemimpin kerajaan dilihat fokus sepenuhnya untuk mengurus negara tanpa ada sebarang konflik politik berbanding PH yang masih bergelut dengan calon Perdana Menteri mereka.

“Bagaimanapun, bagi saya, keputusan PRK DUN Chini bukan gambaran PRU15. Masih jauh untuk kita ramalkan keputusan PRU15.

“Di DUN Chini, jumlah pengundi Melayu amat besar, jadi kita tidak boleh sukat sokongan orang bukan Melayu terhadap PN,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman turut bersetuju bahawa PRK DUN Chini tidak boleh menjadi penanda aras kepada PRU15.

Katanya, tiada sebarang isyarat politik daripada PRK itu melainkan jika calon Bebas mampu menurunkan jumlah undi calon BN dengan ketara.

“PRK ini juga tidak dapat menggambarkan tahap kerjasama antara MN kerana Pas juga gagal menggugat BN pada PRU14 lalu.

“Sesuatu yang menarik adalah peratusan keluar pengundi setakat ini agak tinggi 72 peratus setakat jam 4 petang. Ini menunjukkan rakyat masih ada minat terhadap politik negara, atau kurangnya pengundi luar,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

Pada hari pengundian semalam, calon BN, Mohd Shahrim menang besar apabila memperoleh 13,872 undi berbanding dua lagi calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham yang mendapat 1,222 manakala Mohd Shukri Mohd Ramli pula cuma memperoleh 137 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!