Sultan Johor mahu wujud Santuari Harimau di negeri ini
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dikhabarkan mempunyai hajat untuk membuka sebuah santuari harimau di negeri ini.
Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.
Menerusi hantaran itu juga, Ahmad Ismail dilaporkan turut meluangkan masa bertukar buah fikiran selepas mengadap Baginda Sultan di Istana Bukit Pelangi, di sini, hari ini.
Ahmad Ismail berkata, dalam pertemuan itu juga Baginda turut mengutarakan pandangannya mengenai pemuliharaan kawasan Endau-Rompin, Panti (Kota Tinggi) dan Gunung Ledang.
“Baginda turut menyampaikan hajat untuk mewujudkan sebuah santuari harimau di negeri ini.
“Tuanku Sultan Ibrahim mempunyai pengetahuan yang amat mendalam berkenaan alam sekitar serta isu- isu semasa lain yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, bertitah kepada Royal Press Office, Sultan Ibrahim mahu MNS memainkan peranan yang lebih besar di negeri Johor khususnya dalam melindungi alam sekitar.
Baginda bertitah, dirinya juga mahukan lebih banyak kajian dan penyelidikan dibuat serta dikongsi hasilnya bersama semua pihak demi kepentingan serta perlindungan alam sekitar.
“Saya amat serius dalam perkara ini dan merasakan usaha untuk memuliharanya mesti sentiasa dipertingkatkan oleh semua pihak,” titahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!