Kerja kuat berbaloi
PEKAN - Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini membuktikan kerja keras selama dua minggu berkempen berbaloi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun kemenangan sudah dijangka, namun jumlah majoriti diperoleh Mohd Sharim sangat mengejutkan.
Menurutnya, hasil berkenaan membuktikan kerja kuat daripada jentera parti dan gabungan Muafakat Nasional dalam bertungkus-lumus berkempen memberi keputusan yang menyebelahi BN.
"Kita tahu ada calon bebas yang disokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebab itu kita bersungguh-sungguh berkempen termasuk menggunakan laman sosial dan ternyata berkesan," katanya ketika ditemui media di Taman Selasih bagi meraikan kejayaan Mohd Sharim.
Pada PRK yang berlangsung semalam, Mohd Shahrim memperoleh 12,650 manakala calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing memperoleh 1,220 dan 173 undi.
Menurutnya, kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional bukan di atas kertas tetapi direalisasikan melalui politik.
"Kita sudah enam kali menang dalam PRK sebelum ini dan kita sudah bersedia hadapi sebarang pilihan raya secara mengejut.
"Kita yakin kerjasama BN dan Pas akan lebih positif dan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan menunjukkan rakyat yakin dengan kepimpinan BN.
"Yang paling membanggakan kita apabila peringkat awalnya ramai yang bimbang pengundi tidak keluar mengundi kerana keyakinan sudah pun menang.
"Namun kalau kita lihat daripada jumlah pengundi yang keluar mengundi hari ini (semalam) lebih 73 peratus. PRK kali ini antara paling ramai pengundi.
Beliau turut berterima kasih kepada Pas selaku rakan dalam Muafakat Nasional dan jentera Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membantu kempen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!