Mayat ketujuh mangsa bot karam ditemukan

A
A
A

BACHOK - [DIKEMASKINI] Mayat ketujuh mangsa insiden bot terbalik di perairan Kemasin pada Isnin lalu ditemukan pada hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Mayat Encik Wadi Bakar, 44, yang hanyut ke arah Timur Laut di laut terbuka tersebut ditemui nelayan pada jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman mengesahkan perkara itu selepas pengecaman dibuat adik mangsa, Che Suhaimi, 41, berdasarkan tubuh dan pakaian mangsa.

Menurutnya, pihak SAR menerima maklumat daripada nelayan yang menemui mangsa pada jarak 28.5 batu nautika persegi dari lokasi bot terbalik.

“Bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan kemudian ke lokasi dan mendapati satu mayat terapung serta membawanya ke Jeti Perikanan Kemasin sejauh 37.1 batu nautika persegi dari lokasi ditemui.

“Mayat masih berbaju T berwarna biru dan berseluar paras lutut tiba pada jam 12.22 di jeti. Pemeriksaan tidak menemui pengenalan diri namun adik mangsa mengecam berdasarkan tubuh dan pakaiannya,” katanya kepada pemberita di Jeti Perikanan Kemasin hari ini.

Beliau berkata, mayat ketujuh tersebut ditemui dalam jarak 19.2 batu nautika persegi dari lokasi mayat keenam, Harun Daud, 57, yang dijumpai pada Khamis lalu.

“Mangsa yang berasal dari Kedai Buloh, Kota Bharu tersebut dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan ujian deoxyribonucleic acid (DNA),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian Isnin lalu, bot nelayan dinaiki pemancing, tekong dan awak-awak terbalik apabila dibadai ribut dan ombak besar di perairan Kemasin pada jam 8.30 malam.

Insiden tragis itu mengorbankan tujuh nyawa, 12 selamat manakala seorang masih hilang.

Mangsa yang masih hilang ialah Arman Ismail, 43.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!