PGA rampas 800 biji pil kuda
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 800 biji pil kuda bernilai RM8,000 yang diseludup masuk ke negara ini dari Thailand dipercayai menggunakan laluan tikus dalam satu serbuan di Kampung Lubok Gong di sini sekitar jam 6 pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintanden Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggotanya telah mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu dalam keadaan mencurigakan dari Jalan Rantau Panjang menghala ke Jeram Perdah.
"Setiba di Kampung Lubok Gong, suspek yang telah menyedari kehadiran anggota PGA Batalion 7 telah bertindak dengan menghentikan kereta itu di hadapan sebuah rumah.
"Suspek kemudian bertindak melarikan diri ke dalam semak di belakang kawasan rumah tersebut dengan meninggalkan keretanya," katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu PGA Batalion 7 telah menemui 800 biji pil kuda yang dibungkus menggunakan plastik berwarna biru.
Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk kereta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
"Hasil maklumat risikan, kita percaya suspek memperoleh bekalan dadah itu dari Thailand.
"Kita tidak menolak kemungkinan suspek juga dipercayai telah melarikan diri ke Thailand dengan menggunakan pengkalan haram Lubok Gong," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!