Wang tunai RM52,000 hangus sekelip mata!
SABAK BERNAM - Seorang pembekal barangan dan alatan sekolah berputih mata apabila wang tunai berjumlah RM52,000 hangus dalam kebakaran di Kampung Parit 10 Timur, di sini petang semalam.
Khatib Yusop, 38, berkata, jumlah itu termasuk wang simpanannya sejak lapan tahun lalu berjumlah RM40,000 dan wang modal pusingan perniagaan RM12,000.
Menurutnya, wang itu sepatutnya disimpan di bank dalam waktu terdekat namun semuanya musnah dalam kejadian terbabit.
"Saya memang sedih duit hangus begitu sahaja lebih-lebih lagi saya rancang banyak perkara yang mahu dilakukan dengan duit simpanan itu," katanya.
Khatib berkata, dia mengetahui tentang kebakaran pada jam 3.30 petang itu melalui seorang jiran yang menghubunginya.
"Ketika itu saya berada di kedai makan. Saya bergegas pulang dan tak terkejut mendapati api sedang marak membakar rumah," katanya yang menyewa rumah itu sejak 10 tahun lalu.< /p>
Katanya, jumlah sebenar kerugian berjumlah RM200,000 tidak termasuk wang tunai yang hangus tersebut.
"Turut rentung ialah tiga kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara, van dan sebuah motosikal berkuasa tinggi serta barangan perniagaan seperti buku dan al-Quran," katanya.
Seorang saksi kejadian, Fazila Mohd Hata, 33, berkata, kejadian disedarinya selepas terdengar bunyi kaca meletup di rumah jiran bersebelahan ketika sedang mengecas 'power bank 'di bahagian dapur rumah.
"Saya terus keluar dan terkejut melihat kepulan asap menjulang tinggi di rumah terbabit. Saya terus hubungi Khatib untuk maklumkan kejadian," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khuzaimey Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.35 petang semalam.
Katanya, seramai sembilan anggota BBP Sungai Besar dan seramai lapan BBP Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran membabitkan 90 peratus rumah terbabit dan api berjaya dikawal kira-kira 20 minit.
"Punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!