Jangan ulangi kesilapan lalu: Annuar
SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan semua pemimpin parti agar tidak mengulangi kesilapan dengan bersikap tamak, angkuh dan berpecah yang akhirnya akan merugikan semua pihak.
Menurutnya, kejujuran dalam membela rakyat serta diiringi muafakat akan memacukan lagi kejayaan sesebuah kerajaan dan juga parti.
"Teruslah pemurnian perjuangan kita. Jangan ulangi kesilapan (kerana) yang menewaskan kita ialah tamak haloba, angkuh dan sombong serta perpecahan," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Menerusi hantaran tersebut, Annuar turut berkongsi beberapa keping gambar beliau dan pemimpin UMNO lain meraikan kejayaan Mohd Sharim Md Zain yang diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini yang baharu selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang berlangsung semalam.
Khamis lalu Annuar dilaporkan berkata, UMNO dan Pas bersetuju untuk menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, perkara itu juga telah dibincangkan di peringkat jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional dua minggu lalu untuk UMNO dan Pas terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin.
Bagaimanapun beberapa pemimpin UMNO lain dilihat tidak 'selari' dengan pendirian tersebut.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menamakan lima calon daripada parti itu yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri.
Menurutnya, UMNO mempunyai Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta beberapa nama lain.
Selain itu, tokoh Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad turut mempersoalkan tindakan mengumumkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
Katanya, UMNO sepatutnya berbincang cara bagaimana Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional untuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!