Lima mat rempit ditahan ketika berlumba motosikal

Tiga daripada lima penunggang motosikal yang ditahan kerana berlumba di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterwoth (BORR) tengah malam tadi.
Tiga daripada lima penunggang motosikal yang ditahan kerana berlumba di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterwoth (BORR) tengah malam tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis menahan lima lelaki termasuk seorang penuntut institut pengajian tinggi ketika berlumba motosikal di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterwoth (BORR) di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penuntut berkenaan berusia 20 tahun manakala dua lagi yang berusia 20 dan 23 tahun adalah pekerja kilang.

Menurutnya, mereka ditahan selepas didapati menunggang secara merbahaya dalam Op Samseng Jalanan pada jam 12.30 tengah malam.

"Ketiga-tiga lelaki dilihat berlumba sesama sendiri sambil melakukan aksi mengangkat tayar hadapan motosikal dan menunggang dalam keadaan laju dari Plaza Tol Sungai Dua menghala Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum membuat pusingan U dan berpatah semula ke arah plaza tol.

"Bagaimanapun, ketika sampai di Kilometer 7.1 BORR, ketiga-tiga mereka yang menunggang motosikal Yamaha 125Z ditahan sepasukan polis untuk pemeriksaan," katanya ketika dihubungi tadi.

Anggota polis sedang memeriksa peratusan alkohol salah seorang pemandu kereta dalam Op Mabuk di Jalan Permatang Pauh awal pagi tadi.
Anggota polis sedang memeriksa peratusan alkohol salah seorang pemandu kereta dalam Op Mabuk di Jalan Permatang Pauh awal pagi tadi.

Tambahnya, selain mereka, dua pelajar sekolah berusia 17 tahun ditahan kerana berlumba di lokasi sama pada jam 2 pagi tadi.

"Kedua-dua pelajar lelaki itu didapati berlumba sesama sendiri dari NBCT menghala ke Plaza Tol Sungai Dua. Bagaimanapun, mereka ditahan ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat BORR arah Sungai Dua.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam operasi berasingan, Noorzainy berkata, pihaknya mengeluarkan 47 saman atas pelbagai kesalahan dalam Op Mabuk di Jalan Permatang Pauh, di sini.

"Polis juga menjalankan ujian saringan alkohol ke atas lima pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol, namun hasil ujian mendapati tahap alkohol mereka rendah.

"Sebanyak 260 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam kesemua operasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!