Bekas peledak Perak 'korbankan' Kasut Emas
KEMELUT kewangan yang membelenggu Khalid Jamlus memaksa bekas penyerang negara mengorbankan Anugerah Kasut Emas dimenanginya bersama Perak 18 tahun lalu dengan harga RM10,500 menerusi bidaan online secara langsung di Facebook miliknya kelmarin.
Bekas berusia 43 tahun yang pernah beraksi bersama Selangor, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada saingan liga tempatan itu selain mengorbankan anugerah dimenangi ketika bersama skuad Yeop di pentas Liga Perdana 2002 berkenaan juga turut membuat beberapa lelongan koleksi peribadi seperti poster, jersi dan medal diperolehnya sepanjang mewarnai arena bola sepak tempatan.
Biarpun tindakan legenda bola sepak negara itu menimbulkan tanda tanya dan teguran dalam kalangan penyokong tempatan namun bekas peledak Kejor Yeop Kejor itu menjelaskan keputusan berkenaan diambil setelah beliau berdepan masalah kewangan.
Terbaharu dalam perkongsian terkini di laman Facebooknya malam tadi, Khalid yang memulakan karier seniornya bersama skuad Seladang pada 1999 memuat naik tangkapan skrin perbualan WhatsApp didakwa dengan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mempelawanya bertemu Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkenaan.
"Insya-ALLAH mungkin ada sinar," kata Khalid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!