5,000 hilang kerja di Perak akibat Covid-19
IPOH - Seramai 5,000 individu dianggarkan hilang pekerjaan di Perak akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang menjejaskan banyak sektor ekonomi di negeri ini.
Pengurus Besar Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), Mohamad Fikri Mohd Junit berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,000 individu merupakan anak Perak manakala selebihnya dari luar Perak serta warga asing yang kebanyakannya daripada sektor pelancongan dan pembuatan.
"Jumlah itu sebenarnya tidak begitu ketara berbanding negeri-negeri lain dan kebanyakan mereka merupakan pekerja dalam sektor pelancongan kerana sebelum ini menyaksikan banyak hotel-hotel ditutup.
"Sebagai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri, Pasak kini berusaha membantu mereka yang kehilangan sumber pendapatan dengan menempatkan semula ke alam pekerjaan melalui kekosongan jawatan selain meningkatkan kemahiran dan melatih semula mereka," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Fikri ditemyui selepas merasmikan program Temuduga Terbuka Bersama Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bengkel Automotif Bumiputera Perak di Wisma Koperasi Pekebun Kecil, Jalan Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi pekerja yang berlainan bidang, mereka akan menjalani latihan semula selama empat minggu sebelum masuk ke tempat kerja baharu.
Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 1,000 kekosongan pekerjaan yang dikenal pasti oleh Pasak untuk diisi di seluruh Perak.
Dalam pada itu, Pasak turut bekerjasama dengan Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bengkel Automotif Bumiputera Perak untuk menyediakan kira-kira 500 pekerjaan dalam bidang automotif.
Katanya, perbincangan singkat antara Pasak dan persatuan membuahkan hasil apabila satu sesi temuduga berjaya diadakan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bengkel Automotif Bumiputera Perak, Hadiman Ariffin berkata, kekosongan jawatan itu melibatkan lebih 100 bengkel milik ahlinya di seluruh Perak.
Katanya, kekosongan tersebut membabitkan pelbagai jawatan seperti mekanik, pengimpal, mengecat kenderaan, kerani, pengurus pemasaran dan sebagainya.
"Kekosongan ini wujud berikutan permintaan tinggi orang ramai untuk servis kenderaan masing-masing selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai pekerja diperlukan.
"Selain itu juga, penstrukturan semula syarikat-syarikat milik ahli persatuan yang melihat potensi meluaskan perniagaan dengan pembukaan cawangan baharu tetapi mereka tidak cukup pekerja," katanya.
Hadiman berkata, sambutan yang diterima menerusi temuduga tersebut sangat menggalakkan apabila lebih 300 individu mendaftar secara dalam talian untuk hadir manakala selebihnya dibuat secara hadir terus ke tempat temuduga.
Menurutnya, hasil temuduga akan diketahui dalam masa dua minggu hingga sebulan sama ada mereka berjaya diterima bekerja atau sebaliknya.
Bagi seorang mekanik, Abdul Malik Mat Jaafar, 22, peluang tersebut tidak disia-siakan setelah enam bulan berhenti bekerja sebagai operator pengeluaran sebuah kilang di Taiping.
Katanya, dalam tempoh enam bulan itu, dia memberi tumpuan terhadap minat membaiki motosikal untuk menjadi seorang mekanik.
Jelasnya, selepas mengetahui peluang pekerjaan dalam bidang automotif, dia terus mendaftar diri dan menyertai temuduga tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!