APMM bongkar taktik nelayan warga asing
KUALA TERENGGANU - Taktik empat bot nelayan asing menyerupai bot nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika menceroboh perairan negara gagal mengaburi pihak berkuasa apabila mereka dikesan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), semalam.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, perbuatan 47 warga Vietnam termasuk tekong itu dikesan ketika sedang menangkap ikan di empat lokasi berbeza iaitu antara 118 hingga 123 batu nautika dari Kuala Terengganu, jam 3.30 petang hingga 4.30 petang.
Beliau berkata, selepas menerima maklumat terdapat bot nelayan asing dalam keadaan mencurigakan, dua kapal Maritim iaitu KM LANGKAWI dan KM GEMIA yang sedang melakukan rondaan OP IMAN diarah menjejakinya.
“Sebaik sahaja berjaya mengesan lokasi keempat-empat bot berkenaan, pihak kami menjalankan pemeriksaan lanjut dan menemui 47 warga Vietnam berusia dari 17 hingga 57 tahun yang mana hanya empat daripada mereka sahaja memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Pemeriksaan seterusnya menemui kira-kira 9.15 tan ikan termasuk ikan baja di dalam keempat-empat bot berkenaan yang disyaki diperoleh secara haram di perairan kita," katanya pada sidang media di ibu pejabat APMM Terengganu hari ini.
Muhammad Suffi berkata, nilai rampasan termasuk bot, hasil tangkapan laut, bekalan diesel iaitu sebanyak 16,500 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhan bernilai hampir RM5 juta.
Kesemua nelayan berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Sementara itu, Muhammad Suffi berkata, pihaknya mengingatkan kepada semua pemilik bot tempatan agar jangan sesekali berani memajakkan lesen bot milik mereka kepada nelayan asing disebabkan hanya untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda.
"Individu yang dikesan terlibat dengan aktiviti tidak bertanggungjawab ini akan didakwa dan dikenakan hukuman yang berat sekiranya disabitkan kesalahan.
"Kesalahan ini memang tidak boleh dipandang remeh kerana selain mengundang kebanjiran nelayan asing yang akan mencuri hasil laut kita, mereka yang terlibat juga boleh dilabelkan 'pengkhianat' negara," katanya.
Selain itu, Muhammad Suffi berkata, sepanjang minggu ini sahaja, sembilan bot nelayan Vietnam sudah ditangkap dan ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran kerana ia merugikan negara.
"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim," tegas beliau.
Muhammad Suffi turut meminta kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!