Mohd Shafie mahu graduan UMS jadi pencipta kerja
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) lebih kreatif dan proaktif untuk menjadi pencipta pekerjaan dan bukannya sebagai pencari pekerjaan.
Mohd Shafie yang juga Pro Canselor UMS berkata ini penting bagi membolehkan para graduan universiti tersebut mampu terus berdaya saing dalam cabaran era globalisasi dan revolusi industri 4.0.
“Sebagai graduan abad ke-21, anda (graduan UMS) sepatutnya tidak mudah menuding jari menyalahkan keadaan kerana kesukaran mendapat pekerjaan, sebaliknya anda perlu positif dan proaktif mencipta ruang dan peluang untuk diri sendiri.
“Jadilah pencipta kerja dan bukannya sebagai pencari kerja sahaja kerana persaingan untuk mendapat pekerjaan dalam kalangan siswazah semakin sengit,” katanya berucap pada hari kedua Majlis Konvokesyen UMS ke-20, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, adalah penting bagi setiap graduan untuk mempunyai kemahiran pelbagai serta tidak terhad dalam satu aspek atau bidang semata-mata ke arah memberi nilai tambah kepada diri masing-masing.
Mohd Shafie berkata kemahiran pelbagai dimiliki graduan akan mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka disamping kepakaran menggabungkan idea dalam menghasilkan produk-produk baharu serta menguasai kemahiran digital.
“Graduan mempunyai kepakaran seperti itu tentunya laris dalam pasaran kerana menjadi sasaran majikan,” katanya.
Seramai 5,003 graduan UMS akan menerima doktor falsafah; ijazah sarjana; ijazah sarjana muda; dan diploma pada majlis konvokesyen kali ini. –Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!