Formula parti terkuat kuasai kerajaan
BERDASARKAN sejarah lalu, kejayaan politik kerjasama bagi memperoleh kuasa pada pilihan raya di negara ini didokong oleh kekuatan parti teras dominan. Fenomena itu sudah bermula sejak zaman awal merdeka lagi.
Contoh terbaik ialah UMNO dalam konteks Parti Perikatan dan gabungan kemudiannya iaitu Barisan Nasional (BN). Politik kerjasama, dominan UMNO ini berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Meskipun konsep itu berakhir, namun model politik itu telah membuktikan kejayaan dalam mewujudkan konsolidasi dan kestabilan politik yang baik untuk rakyat serta negara selama enam dekad lamanya.
Kekalahan BN pada PRU14 juga menyebabkan konsep itu terhenti apabila Pakatan Harapan (PH) yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dapat mewujudkan kerajaan dengan jumlah kerusi Parlimennya yang tidak begitu banyak.
PH dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) serta disokong oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) berjaya membentuk kerajaan pada Mei 2018.
Parti-parti dalam PH memperkenalkan konsep politik kerjasama berteraskan model perkongsian bersama seimbang tanpa kehadiran mana-mana parti teras dominan yang berhasil menumbangkan BN.
Namun selepas 22 bulan memerintah berlaku pertembungan pendapat mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri hingga mencetuskan perebutan kuasa politik yang mengakibatkan kerajaan PH pula runtuh.
Kini, biarpun PH terus mencuba untuk mendapatkan kembali kuasa di Putrajaya namun tumpuan sebenarnya adalah kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan partinya, Bersatu.
Di samping itu, rakyat juga sudah mula tertanya-tanya bagaimana pendekatan akan diambil parti-parti dalam Perikatan Nasional untuk bertanding pada PRU-15 kerana gabungan itu tidak didaftarkan secara formal.
Parti dominan
Pelbagai persoalan timbul termasuk adakah Perikatan Nasional akan menggunakan konsep kekuatan parti teras dominan atau konsep kerjasama berteraskan model perkongsian bersama secara seimbang seperti PH?
Berikutan itu, ada pihak menjangka akan berlaku kerjasama parti bersifat dominan sebelum PRU15 dan pembentukan coalition government antara parti-parti yang menang hanya selepas PRU itu.
Keadaan ini turut disifatkan sebagai satu normal baharu dalam istilah kerjasama politik parti-parti di Malaysia pada PRU15 sekali gus menjadikan PRU akan datang itu sesuatu yang sukar dijangka.
Mengulas isu tersebut, Pensyarah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, perkara itu bergantung kepada keadaan politik ketika itu.
Menurutnya, walaupun PN bukan gabungan rasmi yang didaftarkan seperti mana Pakatan Rakyat sebelum ini, namun tidak semestinya gabungan yang dilihat masih longgar itu tidak boleh bersatu dalam PRU15.
“Sebab dahulu Pakatan Rakyat bermula seperti ini dan kemudiannya merasmikan penubuhan pakatan parti politik itu. Dalam konsep ini ia banyak bergantung kepada mereka (pemimpin dalam PN).
“Sebab sekarang ini PN merasakan mereka ada kekuatan sekiranya mereka bersama, UMNO, Pas, MCA, MIC termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. Jadi kalau berpecah kekuatan mereka akan dilihat menjadi berkurangan.
“Sementara gabungan Muafakat Nasional banyak bergantung kepada UMNO dan Pas yang masih memerlukan sokongan parti lain termasuk daripada parti bukan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam masa sama, katanya, Muafakat Nasional perlu menerima hakikat bahawa Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 seperti mana yang telah dipersetujui secara bersama dalam PN.
Sehubungan itu, beliau berpandangan, fokus utama PN ketika ini adalah untuk menguatkan struktur gabungan berkenaan antaranya dari segi pencalonan, kekuatan akar umbi dan kerjasama politik mereka.
“Keadaan itu telah diperlihatkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini. Bersatu turut berkempen untuk calon BN di DUN Chini yang menyaksikan BN menang majoriti besar,” kata penganalisis politik itu.
Belum berakhir
Bagaimanapun, pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempunyai pandangan yang berbeza mengenai konsep kekuatan parti teras dominan dan konsep kerjasama secara seimbang.
Beliau menafikan gabungan parti berteraskan kekuatan parti dominan sudah terhenti, sebaliknya formula gabungan seperti itu akan berlaku secara berterusan malah keberkesanannya sudah tercatat dalam sejarah.
“Formula gabungan akan berterusan, persoalannya sejauh mana gabungan itu boleh kekal apabila mereka kalah atau menang. Kalau kalah ia mungkin berpecah seperti mana di Sabah dahulu (PRU14).
“BN dan Pas ada Muafakat Nasional. BN Sabah pula boleh membuat keputusan sendiri untuk berdepan Warisan dengan cara dan kehendak mereka sendiri sementara tiada BN di Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini, imej Sarawak lebih dikenali sebagai deposit tetap BN.
Namun selepas PRU14, istilah deposit tetap itu tidak lagi sesuai digunakan apabila GPS kini menjadi antara king maker dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, pemimpin muda dalam Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula menyifatkan dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk dari segi perancangan parti politik dalam menghadapi PRU.
Bagaimanapun, beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat melihat politik negara kini mula menuju ke arah kematangan dari segi politik seperti mana yang berlaku di negara maju lain.
“Ini juga bermakna parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRU seterusnya bakal berdepan dengan pengundi-pengundi yang lebih matang berbanding sebelum ini.
“Ini kerana pengundi melihat perubahan yang dilakukan oleh mereka pada PRU lepas berjaya mengubah kerajaan BN kepada PH, namun mereka akhirnya tertipu apabila PH tidak dapat menunaikan janji janji mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun tidak berlaku PRU ketika PH memerintah tetapi ketidakpuasan hati rakyat terhadap prestasi PH dapat diukur menerusi kaji selidik yang dilakukan termasuk berdasarkan keputusan beberapa PRK yang secara jelas menunjukkan rakyat menolak PH.
“Ketika berlaku perubahan kerajaan PH kepada pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Muafakat Nasional iaitu UMNO dan Pas, ia menunjukkan keadaan yang sebaliknya iaitu lebih positif.
“Ia berdasarkan langkah-langkah pemimpin PN yang juga menampakkan mereka berusaha untuk mengatasi masalah rakyat dan bukannya sibuk dengan berpolitik siapa bakal menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!