Tragedi anak kecil terlibat dadah

A
A
A

MUSUH generasi muda kini semakin banyak dan membimbangkan. Antara yang paling menyayat hati ialah pengambilan dadah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Mereka hanya sehelai kain putih, coraknya petak atau bujur, semuanya ibu bapa yang lakukan. Bukan ibu bapa orang lain, tapi ibu bapa yang mereka lihat sendiri 24 jam sehari.

Bagaimanakah perasaan kita apabila melihat seorang kanak-kanak berusia bawah 12 tahun membantu si ibu jual dadah dan pil kuda? Apa yang budak itu faham dengan dadah tersebut? Apakah mereka tahu mudarat di sebalik penggunaan bahan terlarang itu?

Kenapa mereka dijadikan ‘teman’ semasa aktiviti terlarang tersebut dilakukan? Adakah kita sedang mengajar mereka bagaimana untuk mereka menghancurkan masa depan mereka sendiri.

Mengajarkan ilmu pengetahuan yang tidak diperlukan seperti cara untuk menjual dadah bukanlah satu pengorbanan tetapi menghancurkan.

Ada juga kanak-kanak yang berusia 10 tahun sudah pandai menjadi penagih dan pengedar. Adakah itu makna kehidupan sebenar pada pandangan mereka.

Kenapa mereka tidak dibiarkan membesar seperti kanak-kanak normal lain, bermain dan belajar, bukannya dikotori dengan najis dadah. BerubahDengan ilmu dadah yang ada sejak berusia 10 tahun itu mereka akan gunakan untuk menghancurkan masa depan sendiri dan akhirnya boleh ke tali gantung.

Jika pun kita sebagai ibu bapa pernah melakukan kesalahan jenayah, dadah dan sebagainya, maka gunakanlah anugerah ALLAH iaitu anak-anak sebagai jalan untuk berubah, bukan untuk menambah ‘geng di dalam rumah’.

Mengambil dadah dan pil kuda seawal usia 10 tahun, kemudian menjadi pengedar, mencuri dan melakukan jenayah pada usia itu hakikatnya adalah satu tragedi. Apalah nasib dan masa depan mereka jika ia tidak dibendung dari awal.

Artikel Berkaitan:

Ibu bapa jangan salahkan kerajaan, jangan salahkan orang lain, jangan salahkan mereka yang tiada kena-mengena dengan kita. Sebaliknya, diri sendiri yang perlu ditanya, apa yang kamu sudah lakukan kepada anak-anak semasa umur mereka sepatutnya menerima ilmu yang baik, bukan sebaliknya.

Masalah sosial punca ibu bapa jadi penagih? Tiada kerja dan kurang didikan agama yang boleh menjadi pendinding kepada masalah tersebut. Adakah kita perlu tunggu dan lihat masalah ini berterusan atau cuba bantu mereka untuk jadi lebih baik? Mana satu pilihan kita? Atau teruskan kutuk, marah dan lemparkan pelbagai fitnah?

Tekanan emosi, masalah kemurungan dan sebagainya memang sering dikaitkan dengan pengambilan dadah.

Namun, kenapa perlu diheret bersama anak-anak yang masih lagi tidak mengenal dunia sepenuhnya.

Memang betul, peranan setiap pihak perlu ada untuk sama-sama membantu.

Namun, jangan hanya bercakap mengenai tanggungjawab, tetapi apa pun tidak dilakukan. Semua orang boleh berkata-kata tapi di mana pelaksanaannya? Adakah kita sebagai masyarakat sudah bantu sepenuhnya?

‘Mereka tidak boleh dibantu, payah untuk dibantu’. Kenapa alasan seperti itu menjadi penghalang untuk kita membantu generasi yang ada kini supaya menjadi lebih baik. Dadah ada di mana-mana, sentiasa ada, tapi kalau tidak diambil, maka semuanya selamat.

Sebab itulah, pendidikan awal kanak-kanak perlu dilakukan sebaik mungkin. Bukan hanya tahu memberi ilmu tanpa menapis apakah ilmu yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak kita. Mereka terlalu kosong dengan pengalaman, ilmu dan agama. Maka, mereka itulah yang boleh dibentuk, bukannya untuk dihancurkan.

Inilah yang perlu difikirkan sebaik mungkin. Duduk, menungkan, apa yang kita mahu pada masa depan anak-anak kita.

Sekalipun kita pernah melakukan kesalahan, namun jadikannya iktibar, bukan panduan untuk orang lain melakukan perkara yang sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!