Harga durian tak mampu beli, mampu tengok saja

A
A
A

MINGGU lepas, Merak Jalanan singgah di sebuah gerai menjual durian. Gerai di tepi jalan itu hanya wujud ketika musim durian tidak jauh dari rumah Merak Jalanan. Bau durian cukup menyengat. Buka saja pintu, baunya sudah meresap ke dalam kereta.

Merak Jalanan lihat banyak kenderaan yang berhenti untuk membeli. Macam pesta pula di kawasan itu. Sebelum membeli tinjau-tinjau dulu harga. Bergantung kepada gred dan jenama. Rata-rata dijual mengikut kilogram.

Tidak ada yang murah. Durian D24 sahaja berharga RM25 sekilogram. Kalau musang king jangan cerita, harga boleh mencecah RM70 sekilogram. Berat sebiji durian sekurang-kurangnya 2 kilogram atau lebih. Jadi bayangkan harganya. Memang mampu tengok sajalah! Kena pula yang membeli datang dengan kereta BMW atau Mercedes-Benz.

Peliknya, harga mahal pun orang tetap beli. Orang macam tak kisah membayar RM100 untuk sebiji durian. Masa Merak Jalanan kecil dahulu, arwah atuk beli durian pakai longgok saja. Satu longgok RM10. Kadang-kadang beli sebiji dengan harga RM3. Sekarang jangan haraplah, kecuali kalau ada dusun sendiri. Durian kampung pun sekilo RM18!

Seorang rakan memberitahu, kalau nak beli durian jangan beli pada hujung minggu kerana harganya melonjak tinggi. Kalau nak beli, tunggu hari biasa atau ketika peniaga dah nak tutup kedai.

Baru-baru ini, seorang teman sepejabat Merak Jalanan merungut, dia kata isterinya mengidam nak makan musang king. Lalu dibelinya sebiji durian saiz sederhana dengan harga RM80. Sekali dibuka di rumah, hanya empat ulas di dalamnya. Maknanya seulas durian jatuh harga RM20. Selebihnya kulit.

Tidak wajar kalau Merak Jalanan menyarankan agar kerajaan mengawal harga durian. Terpulang kepada kita sebagai pembeli.

Bila tak ada orang membeli, sudah tentu harga durian akan jatuh.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!