Muhyiddin hadiri perjumpaan bulanan buat julung kali
PUTRAJAYA - Buat julung kalinya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas menjawat jawatan itu pada Mac lalu.
Perjumpaan yang diadakan di dataran bangunan Perdana Putra itu bermula jam 8.30 pagi ini dihadiri oleh 250 penjawat awam pelbagai agensi di bawah jabatan itu.
Antara menteri yang hadir, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof; Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) berhubung pandemik Covid-19, setiap kakitangan dan pegawainya perlu memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak sosial.
Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 sekali gus mengakhiri kemelut politik negara.
Sebelum itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!