SPRM datang lagi ke pejabat Exco Pulau Pinang
GEORGETOWN - Sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, pagi tadi dipercayai berhubung siasatan kes melibatkan projek terowong dasar laut.
Tiga pegawai SPRM yang berpakaian formal tiba di Tingkat 3, Komtar pada jam 9.55 pagi dilihat terus menuju ke tingkat 53 yang menempatkan pejabat Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo.
Di tingkat sama, turut menempatkan pejabat Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng.
Bagaimanapun, kesemua wartawan dan jurugambar yang pada mulanya dibenarkan berada di Tingkat 53 tersebut, diminta meninggalkan lokasi tersebut setelah sejam menunggu sejak 8.30 pagi.
Sementara itu, di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah kelihatan sebuah kenderaan rasmi kerajaan negeri memasuki pekarangan pejabat tersebut pada jam 10.05 pagi.
Sabtu lalu, SPRM mengambil keterangan bekas Exco Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Datuk Lim Hock Seng.
Pada hari sama, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Jeffrey Chew Gim Eam yang direman empat hari sejak 1 Julai lalu dibebaskan tanpa syarat.
Terdahulu, dua pasukan terdiri daripada tujuh pegawai SPRM hadir ke pejabat beberapa ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar untuk mendapatkan maklumat mengenai dokumen berhubung projek tersebut.
Kumpulan pertama yang tiba di tingkat 52 bangunan berkenaan dipercayai menuju ke pejabat Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.
Selang 20 minit kemudian, sepasukan lagi pegawai SPRM tiba dan masuk ke pejabat Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.
Selain pejabat Zairil dan Ramasamy, tingkat 52 juga menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Pelancongan, Yeoh Soon Hin.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM serbu pejabat Exco Pulau Pinang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!