Denda RM60,000 sedia perkhidmatan klinik swasta tak berdaftar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tidak berdaftar pada tahun lepas.

Syarikat Era Estetika (Alor Setar) Sdn Bhd dikenakan hukuman denda selepas wakil syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat terbabit didakwa menyediakan klinik perubatan swasta tanpa didaftar di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 Akta (586).

Dalam pertuduhan itu, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.50 pagi pada 15 Mei 2019 di sebuah premis di Jalan Kurung 2, Taman Bandar Baru Mergong di sini.

Syarikat tersebut didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Terdahulu, pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan, Dr Anwar Fazal Abu Bakar dan Nozaizeli Abu Samah, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Adwa Azfar dan Terry Ngan.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!