FAMA sedia beli lebih 300 tan labu

Shabuddin (dua dari kiri) ketika membuat pembelian labu manis keluaran petani di Kampung Pandan, Pekan.
Shabuddin (dua dari kiri) ketika membuat pembelian labu manis keluaran petani di Kampung Pandan, Pekan.
A
A
A

KUANTAN - Kebimbangan 80 pekebun di Pekan dan Rompin untuk memasarkan labu akibat lambakan hasil itu selesai apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia menangani masalah berkenaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Fama, Shabuddin Mohd Nor berkata, FAMA akan membeli lebih 300 tan labu daripada pekebun di dua daerah terbabit secara berperingkat.

"Kita sudah membeli sebanyak lebih 150 tan labu pelbagai saiz pada harga lantai yang ditetapkan selepas persetujuan kedua-dua pihak.

"Difahamkan pengeluaran labu di dua daerah berkenaan bertambah sehingga dua kali ganda pada musim kali ini. Faktor permintaan yang rendah menyebabkan pasaran kini agak perlahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau menjangkakan belian labu di dua daerah berkenaan pada musim menuai kali ini mampu mencecah RM250,000.

Dalam pada itu, Shabuddin berkata, pihaknya akan memperluaskan aktiviti jualan ke semua Pasar Segar Terkawal di negeri ini bagi memberi peluang kepada pengguna mendapat labu segar pada harga murah.

"Saya menasihatkan pekebun supaya berusaha mencari pasaran dalam dan luar negeri ini bagi memastikan mereka tidak menanggung kerugian apabila buah rosak.

"Buah labu boleh disimpan lama di tempat kering dan pihak yang berminat untuk membeli labu manis dengan jumlah yang banyak boleh menghubungi FAMA Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular di media sosial kisah seorang pekebun labu manis di Kampung Pandan, Nenasi yang mendakwa hasil pertaniannya tidak dapat dipasarkan kerana pemborong mengurangkan jumlah belian berbanding sebelum ini.

Pekebun Izzat Amir Adam, 29, bagaimanapun bersyukur apabila FAMA Pahang tampil membeli sebanyak tujuh tan labu yang ditanam di kebun seluas kira-kira satu hektar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!