Virtual Halal School jambatan terbaik beri kefahaman konsep halal
KUALA LUMPUR - Inisiatif pembelajaran halal secara maya atau 'Virtual Halal School' yang dikendalikan Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) dilihat menjadi platform terbaik untuk memberi lebih kefahaman kepada masyarakat terhadap konsep halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, usaha itu juga selari dengan hasrat kerajaan mengembangkan lagi industri berkenaan.
"Usaha Kolej UNITI menjadikan industri halal ini difahami, disijilkan dan diberi kefahaman yang baik kepada peserta. Ia juga membuktikan teknologi tinggi dapat dimanfaatkan seiring zaman digital yang berkembang pesat ketika ini.
"Saya yakin usaha ini akan memberikan banyak kebaikan serta menjadikan isu halal difahami dan dimasyarakatkan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Virtual Halal School di Menara Arina-UNITI di sini hari ini.
Sementara itu, Pengasas Virtual Halal School yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, ketika ini seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam Virtual Halal Summer Camp (VHSC) yang bermula hari ini sehingga 31 Oktober ini.
"Daripada jumlah itu, seramai lima peserta bukan Islam turut mengambil bahagian," katanya.
Bertemakan Memahami Halal dalam Industri dan Kehidupan, VHSC melibatkan sesi pembelajaran interaktif secara maya yang dilaksanakan mengikut keselesaan peserta melalui platfom E-Learning.
Program sulung Virtual Halal School ini melibatkan 17 tenaga pakar yang akan membincangkan pelbagai aspek berkaitan industri halal mengikut kepakaran masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!