472,000 pemilik akaun terlibat gangguan air berjadual

Abas (dua kanan) pada sidang akhbar notis gangguan bekalan air berjadual di Bukit Kiara Equestrian hari ini.
Abas (dua kanan) pada sidang akhbar notis gangguan bekalan air berjadual di Bukit Kiara Equestrian hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 472,000 pemilik akaun di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan air berjadual selama empat hari bermula 14 Julai ini.

Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Ir Abas Abdullah berkata, ia berikutan henti tugas di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP 3) bermula jam 9 pagi untuk kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di LRA tersebut.

Menurutnya, LRA SSP 3 akan kembali beroperasi 15 Julai namun tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan.

"Air Selangor menjangkakan 48 peratus daripada keseluruhan kawasan akan menerima bekalan pada 16 Julai jam 9 pagi.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 17 Julai selewat-lewatnya jam 5 petang," katanya pada sidang akhbar notis gangguan bekalan air berjadual di Bukit Kiara Equestrian hari ini.

Kawasan terlibat bagi wilayah Petaling antaranya Aman Puri, Bandar Puchong Jaya, Denai Alam, Hicom Glenmarie dan Hyatt Saujana.

Sementara di Klang, kawasan terlibat ialah Ambang Botanik, Armada Putera, Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2, Jalan Istana, Kampung Jawa, Pandamaran serta lain-lain.

Bagi Gombak pula, Taman Danau Kota, Taman Bukit Wangsa Mas, Kampung Puah, Ayer Panas, Padang Balang dan Jalan Genting Klang.

Artikel Berkaitan:

Bagi Kuala Lumpur pula antaranya Jalan Maktab, Jalan Semarak, Kampung Datuk Keramat dan Jalan Jelatek serta Padang Tembak.

Di Kuala Langat, Jalan Sijangkang Utama, Taman Perwira, Taman Seri Medan, Sijangkang Jaya, Eco Santuary, Batu 9 Kebun Baru dan Tropicana Aman.

Abas berkata, Air Selangor akan menggerakkan 91 lori tangki ke kawasan terjejas dengan memberikan tumpuan kepada premis kritikal termasuk hospital dan pusat dialisis.

"Bantuan bekalan air melalui lori tangki ke premis pelanggan atau kawasan perumahan hanya akan bermula pada 16 Julai.

"Justeru, Air Selangor menasihatkan pengguna untuk menyimpan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan," katanya.

Selain itu katanya, Air Selangor trut membuka lapan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan enam pili awam mulai 16 dan 17 Julai bagi kemudahan pengguna.

"Pengguna boleh mendapatkan situasi semasa baik pulih melalui saluran rasmi media sosial, laman sesawang serta aplikasi Air Selangor di telefon pintar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!