Chong Eng akui disoal mengenai terowong dasar laut, lebuh raya

Chong Eng sempat ditemubual media selepas selesai memberi keterangan kepada SPRM tadi.
Chong Eng sempat ditemubual media selepas selesai memberi keterangan kepada SPRM tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng mengakui beliau disoal mengenai projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Beliau yang ditemui di luar pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah berkata, selain disoal berhubung projek tersebut, beliau turut diminta memberi maklumat mengenai latar belakangnya sebagai Exco Kerajaan Pulau Pinang.

"Saya diminta datang ke sini (SPRM) untuk memberi keterangan mengenai projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya selain menceritakan mengenai latar belakang saya. Itu sahaja," katanya.

Ditanya mengapa proses tersebut mengambil masa terlalu lama sehingga empat jam, beliau berkata, pegawai yang mengambil keterangannya merupakan pegawai baharu.

"Pegawai yang ambil keterangan saya, orang muda. Beliau mendapat tugasan ini (mengambil keterangannya) di saat akhir. Pegawai yang sepatutnya menemuramah saya ada tugasan lain.

"Sebenarnya SPRM meminta saya datang pada jam 2 petang namun saya mempunyai beberapa mesyuarat yang perlu dihadiri bermula jam 3 petang hingga 7 malam. Oleh itu, mereka meminta saya datang pada jam 11.30 pagi. Mereka beritahu saya, sesi ini habis untuk hari ini dan saya tidak diarahkan untuk kembali memberi keterangan setakat ini. Mereka juga belanja saya nasi ayam untuk makan tengah hari," katanya.

Sebelum Chong Eng, kenderaan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo dilihat memasuki Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang pada jam 9.30 pagi.

Beliau bagaimanapun dilihat meninggalkan pejabat tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari tanpa bertemu media.

Artikel Berkaitan:

Pada sebelah pagi hari ini, sepasukan pegawai SPRM hadir di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini dipercayai bagi menyiasat kes melibatkan projek terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.

Tiga pegawai SPRM yang berpakaian formal tiba di tingkat 3, Komtar pada jam 9.55 pagi dilihat terus menuju ke tingkat 53 yang menempatkan pejabat Jagdeep.

Di tingkat sama, turut menempatkan pejabat Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Chong Eng.

Bagaimanapun, kesemua wartawan dan jurugambar yang pada mulanya dibenarkan berada di Tingkat 53, Komtar diminta meninggalkan lokasi tersebut setelah sejam menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Difahamkan, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow juga akan diambil keterangan oleh SPRM pagi esok.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, SPRM mengatur pertemuan tersebut bagi mengambil keterangan Kon Yeow berhubung projek yang sama.

Ends.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!