RM1 bilion bantu IKS Johor
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan memohon RM1 bilion daripada kerajaan Persekutuan bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, peruntukan tersebut untuk pengusaha IKS terutama sektor pembuatan dalam mendepani situasi sukar pasca koronavirus (Covid-19).
"Peruntukan ini realisitik dan sesuai dengan sumbangan sektor tersebut dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara.
''Permohonan peruntukan ini dibuat selepas saya mendengar banyak permintaan daripada pemain-pemain industri di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) di Hotel Jen by Shangri-La di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Dr. Ali Hamsa dan Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk A. Rahim Nin.
Selain itu, IJEC turut dianggotai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohammad Syed Ibrahim; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Md. Ariff Mahmood; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan isu berkenaan.
Mengenai mesyuarat yang melibatkan tokoh-tokoh berpengalaman dalam pelbagai bidang itu, beliau berkata, mereka membincangkan isu serta usaha mendepani kelembapan ekonomi pasca Covid-19.
''Mesyuarat tersebut turut membincangkan pakej rangsangan selain memikirkan kaedah-kaedah yang terbaik bagi memastikan ekonomi di negeri Johor berdaya tahan,'' katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!