Covid-19: 40 kompaun ingkar PKPP di Kota Setar

Zamani (dua kanan) menyerahkan cenderamata kepada Aznul (dua dari kiri) pada konvoi motosikal Harley Davidson Petaling Jaya Chapter di IPD Kota Setar, dekat sini, tadi.
Zamani (dua kanan) menyerahkan cenderamata kepada Aznul (dua dari kiri) pada konvoi motosikal Harley Davidson Petaling Jaya Chapter di IPD Kota Setar, dekat sini, tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis mengeluarkan 40 kompaun kepada individu dan beberapa premis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah Kota Setar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, bilangan kompaun dikeluarkan itu bermula 10 Jun lalu hingga hari ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan PKPP.

Katanya, antara kesalahan ingkar PKPP dikesan adalah melanggar operasi standard prosedur (SOP) di premis-premis seperti restoran dengan tidak melakukan penjarakkan sosial.

"Ketika pemeriksaan, kita dapati kebanyakan individu termasuk pelajar sekolah ingkar PKPP apabila lepak dan berkumpul ramai-ramai di sebuah meja di restoran sekitar pusat bandar Alor Setar.

"Kita turut mengesan premis tertentu yang tidak menyediakan dan mengambil pendaftaran nama pengunjung seperti ditetapkan," katanya ketika ditemui sewaktu konvoi motosikal Harley Davidson Petaling Jaya Chapter di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Turut hadir,Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang dan Pengarah Harley Owner's Group (HOG) Petaling Jaya Chapter, Aznul Shahrudin.

Untuk rekod, sebanyak 35 kompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahan ingkar PKPP dikeluarkan ke atas individu, manakala selebihnya terhadap pemilik premis.

Sehubungan itu, Mohd Redzuan berkata, beliau meminta supaya pengusaha-pengusaha premis mematuhi SOP ditetapkan ketika PKPP demi memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) dan menjalani kehidupan normal semula.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, bilangan pasukan pemantauan di IPD Kota Setar dikurangkan kepada sembilan daripada keseluruhan 15 pasukan sebelum ini.

"Namun begitu, pasukan pemantauan itu masih melakukan pemantauan SOP PKPP yang kerap sehingga 12 tengah malam bagi memastikan pematuhan SOP diamalkan dalam usaha menyekang penyebaran wabak," katanya.

Tambah beliau, pasukan pemantau akan memberi tumpuan berdasarkan pemerhatian dan maklumat orang awam untuk memastikan tiada individu melanggar SOP PKPP.

Menurutnya, pihaknya mendapati ada kesalahan ingkar PKPP dikesan di premis sama di kawasan berkenaan namun melibatkan individu atau pengunjung berbeza.

"Jadi, kita maklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut seperti menutup premis yang gagal mematuhi SOP PKPP," katanya lagi.

Pada Jun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan mana-mana individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih boleh dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Beliau berkata, masyarakat dikehendaki mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 meskipun banyak kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan PKPP ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!