SPRM tahan tiga beranak jadi dalang tuntutan palsu Perkeso
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan sepasang suami isteri dan anak perempuannya kerana dipercayai menjadi dalang membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.
Menurut sumber, ketiga-tiga individu yang berusia antara 35 hingga 67 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.15 petang semalam di SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.
"Kesemua mereka disyaki bertindak sebagai ejen sindiket pemalsuan laporan perubatan Orang Berinsuran (OB) dalam kalangan pencarum Perkeso yang membuat permohonan tuntutan hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan pencen ilat," katanya
Menurut sumber itu, laporan perubatan yang dikemukakan oleh mana-mana pemohon tersebut dipercayai mempunyai maklumat palsu bagi membolehkan bayaran pampasan dibuat oleh Perkeso.
Katanya, pemohon pula perlu membayar sejumlah wang kepada ejen terbabit selepas memperoleh pampasan. Difahamkan, kesalahan tersebut dilakukan antara tahun 2015 dan 2018 melibatkan nilai pampasan lebih RM1 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
"Ketiga-tiga mereka dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok (hari ini) untuk mendapatkan perintah permohonan reman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!