Bukan sekadar bersidang, mesti berdialog untuk selesai masalah

No Image Caption
A
A
A

UTTAR PRADESH - INDIA. Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran mencadangkan agar dibentuk satu dialog khas antara Malaysia dan India bagi membincangkan isu-isu berbangkit yang disampaikan dalam Persidangan Pravasi Bharatiya Divas.

Katanya, penubuhan ini bagi mencari punca dan solusi kepada setiap masalah yang dibangkitkan dalam acara dwi tahunan itu.

Beliau yang juga Presiden MIC berkata, sekiranya pertemuan antara pemimpin Malaysia dan India sekadar dalam persidangan Pravasi Bharatiya Divas semata-mata tanpa timbal balik dan maklum balas, masalah antara kedua-dua negara tidak dapat diselesaikan.

"Sepatutnya untuk hasil yang lebih berkesan, lepas saja persidangan ini, kita bentuk dialog wakil Malaysia dan India untuk berbincang secara mendalam bagi mencari titik penyelesaian.

"Kalau sekadar jumpa dua tahun sekali, kemudian balik negara masing-masing masalah tidak akan selesai," ujarnya ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi selepas perasmian Persidangan Pravasi Bharatiya Divas, di sini, hari ini.

Beliau turut menyentuh isu caj visa pelancong India untuk dirundingkan bersama oleh kedua-dua negara.

Vigneswaran memberitahu, kehadirannya bagi mewakili MIC atas hubungan lama Malaysia dan India, bukannya mewakil Kerajaan Malaysia

"Modi ada bertanyakan saya, kenapa tiada wakil menteri dari Malaysia hadir ke persidangan ini? Saya cuma maklumkan di Malaysia ada PRK Cameron Highlands, mungkin sebab itu menteri-menteri tidak datang hadir saat akhir.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, saya memaklumkan kepada Modi meskipun tanpa kehadiran menteri tetapi delegasi Malaysia yang hadir adalah jumlah terbesar dalam persidangan kali ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!