RM15 juta atasi hakisan Pantai Rusila
MARANG - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM15 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Rusila, di sini, sejak beberapa tahun lalu.
Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementerian itu telah memulakan proses penyuburan pantai di sepanjang enam kilometer pantai terbabit dengan menambak balik kawasan persisiran pantai dengan pasir.
"Kita jangkakan projek penyelesaian jangka pendek ini siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
"Bagi penyelesaian jangka panjang iaitu dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), projek yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan berdasarkan kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu.
"Antara komponen utama struktur projek ini adalah pembinaan struktur pemecah ombak jenis 'nearshore breakwater' atau 'groin' dengan kos dianggarkan sehingga RM150 juta," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja Menteri KASA ke Terengganu di Pantai Rusila di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
Tuan Ibrahim berkata, pihak kementerian juga mempunyai beberapa strategi dan kajian juga sedang dirangka untuk mengatasi masalah hakisan pantai yang sering berlaku di Terengganu termasuk Pantai Teluk Lipat di Dungun.
"Dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.762 bilion kepada negeri Terengganu untuk sektor alam sekitar dan air.
"Sebanyak RM162.6 juta diperuntukkan untuk sektor alam sekitar dan RM1.599 bilion untuk sektor air di bawah Rolling Plan (RP4) RMK-11 di Terengganu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!