Enam sekeluarga masuk hospital termakan daun ganja
NEW DELHI - Sebuah keluarga dikejarkan ke hospital selepas termakan daun ganja yang disangka sayuran hijau di Kannauj, India baru-baru ini.
Kejadian tersebut berlaku apabila seorang lelaki dikatakan dengan sengaja memberikan satu bungkusan berisi ganja kepada keluarga berkenaan bagi tujuan prank.
Keluarga itu yang menyangka ia hanyalah sayuran hijau biasa kemudian menggunakan daun-daun tersebut untuk dijadikan lauk dan mula berasa pening selepas beberapa jam menikmati hidangan berkenaan.
Bagaimanapun, mereka sempat memaklumkan keadaan itu kepada jiran sebelum kesemuanya pengsan dan dikejarkan ke hospital.
Kesemua enam ahli keluarga tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Menurut laporan polis, pihaknya berjaya menahan seorang suspek lelaki dan merampas lebihan daun ganja tersebut.
Suspek dikatakan turut mengaku ia hanyalah perbuatan prank yang dilakukan terhadap keluarga tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!