Jualan online penyelamat kerugian operasi butik
UMUM menyedari pandemik koronavirus Covid-19 telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi di seantero dunia. Pelbagai sektor tergendala, malah ada yang terpaksa gulung tikar dek menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit.
Selain industri perhotelan terjejas teruk, situasi serupa turut menimpa sektor peruncitan melibatkan bisnes butik pakaian. Biarpun kerajaan di kebanyakan negara termasuk Malaysia sudah memberi kelonggaran dengan menamatkan 'perintah berkurung', namun majoriti masyarakat lebih cenderung membeli secara dalam talian (online). Barangkali, kaedah tersebut dirasakan selamat kerana tidak terdedah pada persekitaran luar.
Justeru, situasi terbabit secara tidak langsung memberikan kesan negatif kepada operasi butik fizikal yang mana hitungan untung dan rugi adalah bergantung pada jumlah kehadiran pelanggan. Akibatnya butik jenama antarabangsa ataupun lokal mengalami kemerosotan sehingga memaksa mereka mengecilkan jumlah operasi butik.
Buktinya, pada minggu lalu para pencinta fesyen dikejutkan dengan pengumuman jenama H&M yang terpaksa menutup 170 buah butik di seluruh dunia. Ia berikutan syarikat berkenaan mencatat kerugian sekitar RM1.5 bilion iaitu hampir 50 peratus daripada pendapatan bersih pada suku kedua tahun ini.
Biarpun sudah berdiri kukuh selama 73 tahun dalam industri pakaian, namun disebabkan pandemik berkenaan telah menyebabkan H&M hampir ‘rebah’. Bimbang berterusan menanggung kerugian H&M yang mempunyai lebih 5,076 butik di 33 buah negara akur dengan situasi hari ini.
Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan H&M, Helena Helmersson, pada peringkat awal pihaknya bercadang menutup 130 butik sahaja, tetapi susulan kerugian yang dialami jumlah penutupan butik ditambah sebanyak 170 cawangan.
"Disebabkan sukar untuk menjangkakan bila berakhirnya pandemik ini dan catatan kerugian, maka solusi terbaik adalah mengurangkan operasi cawangan di seluruh negara.
"Pun begitu, pihak H&M kini memfokuskan pada jualan secara online (dalam talian) memandangkan graf pembelian melalui platform ini menujukkan permintaan yang mengalakkan dari semasa ke semasa," ujar beliau.
Terdahulu, direkodkan dua jenama popular antarabangsa Zara dan Esprit juga mengalami situasi serupa. Masing-masing terpaksa mengurangka jumlah butik fizikal di seluruh dunia selepas mencatatkan kerugian. Butik Zara misalnya, mengambil keputusan bakal menutup 1,200 cawangannya di seluruh dunia.
Syarikat induk Zara, Inditex berbuat demikian susulan jualan entiti itu terjejas sebanyak 44 peratus dan mempertingkatkan operasi jualan secara online. Walaupun jualan di butik mengalami penurunan, namun pembelian menerusi dalam talian mencatatkan peningkatan secara mendadak sejak dua bulan lalu.
Melonjak
Sehubungan itu, dalam pelan bisnes baharu Inditex menjangkakan jualan dalam talian bakal melonjak sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2022 berbanding 14 peratus pada tahun lalu. Difahamkan, jenama terkenal seperti Bershaka, Pull & Bear, Dab, Massimo Dutti yang turut bernaung di bawah Inditex berkemungkinan besar menerima nasib yang sama seperti Zara.
Menyentuh mengenai trend bisnes pakaian yang terjejas dan mula merudum, pereka fesyen tempatan, Rico Rinaldi Tono menzahirkan pandangan peribadi. Menurut pemilik jenama Rico Rinaldi itu, beliau tidak menolak Covid-19 merupakan 'penyumbang' utama kebanyakan jenama fesyen terpaksa mengecilkan operasi khususnya label diusahakan anak tempatan.
"Saya juga tidak terkecuali berdepan saat getir seumpama ini. Bayangkan, tatkala sibuk menyiapkan stok pakaian koleksi lebaran kerajaan mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sepanjang pelaksanaan perintah itu (PKP) orang ramai adalah tidak dibenarkan keluar rumah, sekali gus menyebabkan butik kosong. Walhal, kami (peniaga) amat menanti kunjungan pelanggan hadir untuk membeli-belah di butik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.
Meskipun pihak kerajaan memperkenalkan pelbagai bantuan dan pelan rangsangan ekonomi, namun sebagai usahawan Rico menyifatkan beliau perlu proaktif memikirkan kaedah sampingan bagi menyelamatkan perusahaan butik yang merupakan sumber pendapatan utama.
"Enggan membiarkan lambakan stok pakaian statik sahaja di butik, maka dengan bantuan staf kami all out (berhabisan) mempromosi dan menjual secara online memandangankan pelanggan tidak boleh ke sana dan ke sini.
"Lagipun seiring dengan modernisasi, jualan online antara platform terbaik dan pantas bagi usahawan reset (memulakan semula) perniagaan yang dilihat semakin pudar pada fasa awal PKP.
"Mungkin hasil jualan yang diraih tidak lumayan seperti di butik, tetapi sekurang-kurangnya aktiviti jual beli produk tetap beroperasi," ujar beliau.
Tutur Rico, pandemik Covid-19 hadirkan hikmah tersendiri. Ia mengajar usahawan agar lebih bersiap-siaga dan pantas memikirkan solusi terbaik apabila berdepan situasi getir masa akan datang.
Pada masa sama, positif dan berlapang dada dengan segala kemungkinan.
*Izyan Liyana Mohd Darif ialah Wartawan Rencana (Lifestyle) SinarPlus, Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!