China berundur dari sempadan jadi pertikaian dengan India
NEW DELHI - China hari ini mula menarik balik pasukan tentera di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian dengan New Delhi susulan pertempuran antara dua negara yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa tentera India pada bulan lalu.
Sumber pemerintah New Delhi memaklumkan tentera China telah mula merobohkan khemah dan struktur di tapak di Lembah Galwan di wilayah Ladakh berhampiran lokasi yang menyaksikan tentera kedua-dua belah pihak bertempur menggunakan batang kayu selama beberapa jam.
Selain itu, beberapa kenderaan juga dikatakan sudah berundur dari kawasan di Hotsprings dan Gogra, dua lokasi yang menjadi perebutan di zon sempadan.
Ketika disoal tentang langkah dibuat Beijing itu, jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata, kedua-dua pihak bertelagah mengambil langkah yang efektif untuk meredakan situasi di sempadan.
"Kami berharap New Delhi akan bertemu Beijing bagi melaksanakan langkah konkrit seperti yang telah dipersetujui, terus berkomunikasi secara rapat melalui saluran ketenteraan dan diplomatik serta bekerjasama bagi mengurangkan ketegangan di sempadan," ujarnya.
Pada 15 Jun lalu, konflik kembali tercetus di sempadan yang tidak ditandai dengan tepat antara China-India yang disifatkan sebagai krisis terburuk dalam tempoh lebih lima dekad. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!