Banci asas penting perancangan pembangunan negara: PM
PUTRAJAYA - Banci penduduk dan perumahan yang dilaksanakan setiap 10 tahun memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia bagi menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di sini hari ini berkata, melalui aktiviti itu, saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia dapat dikenal pasti.
"Maklumat seperti fasiliti pendidikan, kesihatan, rekreasi, jaringan jalan raya yang diperoleh akan digunakan untuk menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat," katanya yang turut memohon rakyat Malaysia memberikan kerjasama bagi menjayakan Banci 2020.
Katanya, walaupun negara masih melalui saat-saat sukar susulan wabak Covid-19 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), panduan prosedur operasi standard (SOP) akan disediakan dan dipatuhi petugas Jabatan Perangkaan dan masyarakat yang terlibat dalam melengkapkan keperluan Banci 2020.
Muhyiddin berkata, maklumat yang dibekalkan melalui Banci 2020 akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa depan yang bakal mengemudi negara ke satu tahap yang lebih baik.
"Jika diimbas kembali, kehidupan dan nikmat yang kita perolehi pada hari ini adalah hasil kerjasama dan komitmen rakyat yang membekalkan maklumat pada lima banci terdahulu," katanya.
Menurutnya, peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kerajaan dan rakyat adalah bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara secara kompetitif, berintegriti dan bermaruah agar semua rakyat mengecapi taraf hidup yang wajar serta tumpuan terhadap pembangunan dan kemajuan negara untuk mencapai taraf negara maju lebih awal turut dapat direalisasikan.
Muhyiddin juga berkata, kerajaan komited untuk meneruskan usaha pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Bagi melaksanakan usaha pembangunan negara berpandukan WKB2030, wujud keperluan perancangan polisi semasa dan masa depan yang menuntut kerajaan untuk lebih proaktif dan responsif, katanya.
"Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat pastinya memerlukan keputusan-keputusan yang dibuat dengan betul serta berasaskan bukti dan fakta yang menyeluruh," katanya.
Muhyiddin berkata, statistik rasmi merupakan teras kepada proses pembentukan dasar sosioekonomi negara dan dalam aspek tersebut, Jabatan Perangkaan Malaysia telah diberikan tanggungjawab untuk menghasilkan statistik yang berintegriti dan boleh dipercayai dalam bidang ekonomi, sosial, demografi dan alam sekitar.
Menurutnya, sistem statistik negara adalah berteraskan kepada amalan terbaik yang disarankan prinsip asas statistik rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk diamalkan oleh organisasi statistik negara dalam penghasilan statistik rasmi.
Beliau berkata, sistem statistik negara yang teguh perlu dilaksanakan dalam persekitaran dunia yang kian mencabar dengan daya saing negara semakin bergantung pada penguasaan data dan maklumat untuk membuat keputusan yang tepat.
Beliau berkata, pelaburan strategik oleh pihak berkepentingan diperlukan bagi pembinaan prasarana dan pembangunan kapasiti sistem statistik negara.
"Pastinya dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!