Warga emas maut MPV bertembung pacuan empat roda
KEPALA BATAS- Salah seorang mangsa kemalangan dalam kejadian malam semalam yang melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda di Permatang Tiga di sini meninggal dunia malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Sariah Saad, 70, disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya pada jam 9 malam tadi.
Menurutnya, mangsa merupakan penumpang belakang kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun.
"Hasil bedah siasat mendapati, mangsa meninggal dunia kerana kecederaan di beberapa bahagian badan selain trauma ke atas kemalangan tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.
Malam semalam, sembilan individu cedera apabila sebuah MPV yang mereka naiki bertembung dengan pacuan empat roda dalam kemalangan Permatang Tiga di sini.
Kejadian pada jam 11.15 malam itu berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda Isuzu D'Max yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Kepala Batas menghala ke Sungai Lokan.
Ketika tiba di lokasi, pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
Pemandu Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung mengakibatkan sembilan individu dalam dua kenderaan itu cedera.
Pemandu Isuzu D'Max yang memandu berseorangan mengalami sakit dada serta kepala manakala lapan sekeluarga yang menaiki Perodua Alza itu mengalami cedera di beberapa bahagian badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!