Ladang bunga matahari jadi tarikan di Perlis
KANGAR - Siapa sangka Perlis kini mempunyai ladang bunga matahari yang tidak kurang hebatnya terletak di Taman Ular dan Reptilia, Sungai Batu Pahat di sini dan menjadi destinasi pilihan bagi pelancong domestik.
Malah, pencinta bunga matahari juga tidak perlu ke negara jiran yang terkenal dengan keindahan flora itu, lebih-lebih lagi ketika pintu sempadan negara masih ditutup akibat pandemik Covid-19 kerana ladang itu dibuka dengan mengambil inspirasi daripada ladang bunga matahari Lopburi di Thailand.
Suasana indah berlatarkan panorama Banjaran Nakawan menerusi bukit Sungai Batu Pahat pastinya memukau para pengunjung yang ingin meluangkan masa di sini sekali gus menjadi lokasi terbaik untuk merakam kenangan sambil dikelilingi pokok bunga matahari yang kembang mekar untuk dikongsi dalam media sosial.
Ini terbukti apabila ladang bunga matahari milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan keluasan 1.21 hektar itu mencetuskan fenomena luar biasa setelah mencatatkan lebih 15,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dalam tiga bulan pertama dibuka sejak akhir Disember tahun lepas.
Pengurus Besar PKENPs, Norsiake Kassim berkata, kebanyakan pengunjung adalah daripada golongan remaja, bagaimanapun sejak taman itu dibuka kembali pada 10 Jun lepas sebaik negara memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berlaku penurunan pengunjung terutama yang berkeluarga.
“Kebanyakan pelawat datang pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Kami berharap jumlah pengunjung domestik akan bertambah apabila sektor pelancongan dijangka pulih dalam masa beberapa bulan ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengimbas kembali idea untuk membuka ladang itu, Norsiake berkata, pada asalnya kawasan taman itu adalah lembah (tanah mendap dan berair) serta tidak digunakan, bagaimanapun kakitangan unit publisiti dan promosi PKENPs mahu memanfaatkan kawasan itu sebagai produk alternatif dengan menanam pokok bunga matahari.
“Pada 2017 dan 2018, Pengurus Korporat PKENPs, Hasmadi Ibrahim membelanjakan wang sendiri untuk membeli biji benih tempatan namun percubaan menanam tanaman itu tidak menjadi selain tiada kepakaran.
“Pada 2019 kami cuba benih jenis ‘oil’ dari Thailand dan alhamdulillah, setelah tiga kali percubaan, benih dari Thailand ini beri kesan positif sesuai dengan faktor cuaca dan tanah di sini,” katanya.
Sementara itu, petugas Taman Ular dan Reptilia, Azmilah Kassim, 36, berkata proses penanaman pokok bunga matahari memakan masa selama dua bulan dengan penyemaian biji benih dibuat secara berperingkat bagi memastikan pokok terus tumbuh dan tidak terputus.
Katanya, penjagaan pokok itu juga mempunyai cabaran apabila tanah yang mendap perlu sentiasa digembur selain turut terdedah dengan kehadiran serangga perosak seperti siput dan ulat serta memerlukan pemantauan berterusan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!