Agong responden pertama Banci 2020

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan Negara 2020 bertemakan 'Data Anda Masa Depan Kita' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan Negara 2020 bertemakan 'Data Anda Masa Depan Kita' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi responden pertama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020).

Dalam sebuah video ringkas yang ditayangkan pada majlis pelancaran Banci 2020 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, Seri Paduka bertitah supaya rakyat turut bersama-sama menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Hari ini, beta telah mengisi e-Census (portal Banci 2020). Bersamalah kita menjalankan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara," titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang ditemui media selepas majlis berkenaan, merakamkan penghargaan bagi pihak Jabatan Perangkaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas dorongan yang diberikan terhadap Banci 2020.

"Ini adalah kali pertama sebenarnya, tak pernah lagi kita mendapat Ketua Negara memberi sokongan yang begitu kuat," katanya.

Mustapa berkata, walaupun negara berhadapan dengan cabaran ketika ini, adalah penting Banci 2020 diteruskan dan berharap rakyat di seluruh negara akan memberi kerjasama sepenuhnya.

Katanya, 108 soalan dalam Banci 2020 telah mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk dari kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

"Hari ini landskap pekerjaan di dalam negara sudah berubah, dulu pekerjaan formal, sekarang banyak pekerjaan tidak formal, jadi kita telah dapat banyak pandangan daripada pelbagai pihak dan pandangan Kabinet," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mustapa berkata, data yang tepat amat penting untuk kerajaan membuat perancangan termasuk untuk penyediaan belanjawan tahunan, Rancangan Malaysia ke-12, dasar pendidikan, perumahan, kesihatan dan insfrastruktur. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!