Al Jazeera hilang integriti dengan laporan berat sebelah
Saya mengecam keras laporan berat sebelah sebuah stesen televisyen swasta antarabangsa, Al Jazeera yang membuat laporan tidak tepat berhubung layanan terhadap warga asing ketika operasi membasmi penularan wabak pandemic Covid-19 di dalam Negara terutamanya di Kuala Lumpur.
Laporan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia's Lockdown berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19 sangat mencemarkan imej negara.
Sebagai rakyat Malaysia, kami menyaksikan bahawa kerajaan melalui pasukan penguatkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bertindak betul mengikut saluran undang-undang.
Laporan portal Al Jazeera itu dijadikan mesej penuh prejudis dengan menanam persepsi buruk bahawa Malaysia memberi layanan buruk terhadap warga asing sepanjang kempen memerangi Covid -19. Al Jazeera seolah-olah menjadi tali barut kepada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kemajuan dan kejayaan Malaysia menangani pandemik itu sepanjang Mac-Julai 2020.
Apakah Al Jazeera telah dibayar dengan sejumlah tertentu bagi tujuan khusus menyerang Malaysia? Saya mencabar Al Jazeera mendedahkan pihak yang menaja dokumentari tersebut supaya masyarakat antarabangsa kenal siapakah mereka dan watak mereka yang sebenar.
Umum mengetahui, selama lebih dari dua bulan Malaysia dilanda wabak Covid-19 bermula 18 Mac 2020 dan kerajaan kerajaan telah melaksanakan operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa peringkat serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu.
Tindakan ini telah berjaya mengurangkan kes jangkitan Covid -19 sehingga 1 angka sehingga hari ini. Bahkan, masyarakat dunia mengiktiraf peranan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berjaya mengawal dan mengurangkan kes Covid-19.
Kaedah kawalan ini juga menyeluruh melibatkan rakyat Malaysia dan juga bukan warganegara Malaysia. Malah, golongan PATI diberikan tempat khas yang selesa untuk pengasingan selain kaedah rawatan dan pemulihan yang sama seperti rakyat tempatan jika dijangkiti Covid-19.
Didapati tidak ada warga asing yang dibiarkan mati atau sakit kerana Covid-19 tanpa rawatan. Tidak juga didapati golongan PATI dibiarkan mati tanpa makanan, tempat tinggal, pakaian atau didera.
Sepatutnya rakyat Malaysia lebih merasa bimbang kerana kebanyakan kes Covid-19 di bawa oleh warganegara asing dari negara asal mereka. Ini realiti yang berlaku di Singapura dan beberapa kluster di Malaysia telah pun dikenalpasti antaranya dibawa oleh warga asing.
Kawalan ketat di sempadan dan terhadap golongan PATI bukan untuk menzalimi mereka, tetapi lebih kepada mengelakkan penularan Covid-19.
Dengan penyiaran portal berita itu, Al Jazeera telah hilang integriti dan reputasi sebagai stesen televisyen berpengaruh antarabangsa yang disegani. Al Jazeera sudah dianggap seperti media barat yang dikuasai oleh pihak tertentu yang berkepentingan dan penuh propaganda untuk memburukkan negara-negara yang tidak disukai.
Jika demikian, layaklah Al Jazeera juga dibakul sampahkan sebagaimana media berat sebelah milik Barat yang lain. Al Jazeera juga menjadi agensi berita yang sudah lagi tidak relevan dan dipercayai oleh masyarakat.
*Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar ialah ADUN Meru, Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!