Ahmad Zahid tarik balik rayuan cabar akta SPRM

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mencabar dari segi perlembagaan berhubung dua akta membabitkan penerimaan bukti dokumen bagi tuduhan yang dihadapinya.

Akta berkenaan ialah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said bahawa pihaknya menarik balik permohonan itu.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah P Ravinthran dan Datuk Nordin Hassan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata, pihak pendakwaan tidak membantah mengenai perkara itu.

Hakim Kamaludin kemudiannya, membatalkan permohonan itu yang sepatutnya dijadualkan didengar hari ini.

Ketika ditemui selepas prosiding, Hisyam memberitahu media bahawa beliau mengemukakan notis pembatalan rayuan pada 2 Julai lepas dan memaklumkan tiada alasan bagi penarikan tersebut.

Pada 18 November 2019 Hakim, Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan bekas timbalan perdana menteri itu untuk mencabar perlembagaan dalam Seksyen 41A Akta SPRM dan Seksyen 71 AMLA, atas alasan permohonan itu pramatang kerana perbicaraan masih belum bermula.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid, 67 yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menghadapi 47 pertuduhan, 12 daripadanya adalah pecah amanah (CBT), lapan untuk rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung pada 14 Julai dan setakat ini, 74 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!