4,316 syarikat sudah terima bayaran balik GST

Abdul Latif pada sidang media mengenai pembayaran GST kepada syarikat di Hotel Zenith, Kuantan hari ini.
Abdul Latif pada sidang media mengenai pembayaran GST kepada syarikat di Hotel Zenith, Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan sudah membayar balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada 4,316 syarikat yang dianggarkan berjumlah RM1.264 bilion setakat 2 Julai lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pembayaran itu dibuat mengikut pendekatan yang telah dirangka dan dipersetujui setelah memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, bagi syarikat yang sudah mengemukakan tuntutan tetapi belum mendapat pembayaran balik, mereka diminta segera menghubungi jabatannya.

"Berdasarkan rekod, beberapa faktor tuntutan tidak diterima adalah disebabkan dokumen tidak lengkap dan mungkin syarikat terbabit tidak layak atas beberapa kriteria yang ditetapkan.

"Selain itu, tuntutan tidak berjaya disebabkan nombor akaun, alamat dan ahli lembaga pengarah syarikat itu sudah berubah," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita mengenai pemberitahuan berhubung pembayaran balik GST di Hotel Zenith, di sini hari ini.

Abdul Latif berkata, syarikat yang tidak berjaya mendapat pembayaran balik masih boleh mengemukakan rayuan kepada JKDM.

"Mereka boleh mengemukakan dokumen lengkap kepada pihak kita. Kemungkinan tuntutan tidak diluluskan disebabkan maklumat tidak lengkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, tuntutan bayaran balik GST masih tertakluk kepada proses penentusahan.

"Pendekatan pembayaran balik GST seperti tuntutan berjumlah kurang RM100,000, semua tuntutan tertakluk kepada penentusahan dan melepasi proses verifikasi.

"Bagi tuntuan pembayaran balik GST bernilai RM100,000 dan ke atas, semua tuntutan akan melalui proses penarafan risiko," katanya.

Tambahnya, sekiranya tuntutan melepasi penarafan risiko dan proses verifikasi, pembayaran balik GST akan dibuat sepenuhnya dan syarikat atau penuntut masih terikat kepada proses auditan pada bila-bila masa dalam tempoh enam tahun selepas 1 September 2018.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Kewangan melalui JKDM dalam kenyataan media akan memastikan pembayaran balik GST yang tertangguh dipercepatkan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, JKDM diarahkan untuk mempercepatkan proses bayaran balik GST yang tertangguh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!