Pasukan khas tangani masalah Felda: PM

Muhyiddin (kiri) bersama Idris pada perasmian Sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara Terolak hari ini.
 - Foto Bernama
Muhyiddin (kiri) bersama Idris pada perasmian Sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara Terolak hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

SUNGKAI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menubuhkan pasukan khas dalam menangani isu-isu berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan khas yang diketuai Tan Sri Abdul Wahid Omar itu berusaha mengenal pasti kaedah terbaik untuk menjamin kelestarian kewangan Felda yang akan memberi manfaat kepada seluruh warga peneroka.

Menurutnya, pasukan khas tersebut akan membentangkan hasil laporan mereka dalam masa terdekat.

"Saya sedar bahawa Felda sedang berada dalam situasi yang agak sukar pada waktu ini. Namun, saya juga amat menghargai sumbangan besar Felda kepada pembangunan negara sejak awal Felda ditubuhkan sehinggalah ke hari ini.

"Justeru, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh warga Felda bahawa Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya akan terus memberikan sokongan padu kepada Felda untuk bangkit semula dan mengorak langkah dengan lebih gagah pada masa hadapan.

"Insya-ALLAH, berkat usaha kita bersama, Felda akan melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Kampus Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Muhyiddin berkata, perubahan yang berlaku di sekeliling memerlukan Felda meneroka bidang-bidang baharu bagi menjamin kehidupan lebih baik kepada peneroka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara yang sedang dilaksanakan pada masa ini ialah Model Baharu Felda yang bermatlamat utama membantu peneroka meraih pendapatan tambahan lebih lumayan tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil kelapa sawit dan getah.

Muhyiddin berkata, Felda juga mempunyai potensi besar menjadi peneraju utama sektor pertanian pintar dan pengeluaran makanan di negara ini kerana mempunyai kawasan pertanian yang luas.

"Saya percaya jika potensi ini dapat dibangunkan sepenuhnya, Felda akan menjadi antara pengeluar makanan utama negara dan mewujudkan jaminan bekalan makanan yang stabil.

"Di samping menjadi pengeluar komoditi utama negara, saya juga ingin melihat Felda bangkit sebagai pemangkin dan peneraju industri makanan berskala besar dengan menggerakkan aktiviti perladangan berteraskan pertanian pintar dan aktiviti hiliran yang inovatif," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kelonggaran syarat pinjaman yang diberikan oleh Agro Bank kepada generasi baharu Felda untuk memiliki rumah menerusi skim Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dengan kadar pembiayaan 110 peratus untuk harga rumah bernilai maksimum RM300,000.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin turut melancarkan Lembah Herba yang menjadi sebahagian dari Program Pembangunan Peneroka untuk dilaksanakan di lima rancangan di Felda Wilayah Trolak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!