SOP pelaksanaan sidang Parlimen diluluskan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluluskan prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen dengan mengambil kira kebiasaan baharu dalam memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara SOP yang dipersetujui ialah pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter tempat duduk semasa persidangan Parlimen berjalan.
“Semua yang terlibat termasuk ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media perlu menjalani proses pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk.
“Hanya ahli Parlimen dan pegawai dibenarkan masuk ke dewan persidangan manakala hanya petugas media dan penjawat awam dibenarkan berada di bangunan Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula dari 13 Julai hingga 27 Ogos iaitu selama 25 hari, manakala Dewan Negara pula akan bersidang dari 2 September hingga 23 September iaitu selama 11 hari.
Menyentuh operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dan mengeluarkan kompaun kepada tiga individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti yang melanggar SOP semalam.
“Sebanyak 2,749 pasukan pematuhan melibatkan 13,471 anggota membuat pemantauan di 4,211 pasar raya, 6,110 restoran serta 2,120 penjaja, 1,091 kilang, 3,773 bank dan 863 pejabat kerajaan,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, turut dipantau 1,243 terminal pengangkutan darat, 322 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara, dan menambah 65,283 pemeriksaan dijalankan pasukan petugas operasi pematuhan itu semalam.
Sementara itu, beliau berkata, PDRM membuat 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 44,028 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus dengan lima warga asing ditahan kerana kesalahan imigresen.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan di kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.
Mengenai operasi sanitasi awam, Ismail Sabri berkata, satu operasi sanitasi meliputi satu zon di Melaka melibatkan tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan satu jentera jabatan itu dijalankan semalam.
Sementara itu, katanya seramai 1,146 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, Jepun, China, Qatar, Australia, Belanda, India dan United Kingdom semalam.
“Daripada jumlah itu, 1,144 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala dua individu dibawa ke hospital.
“PDRM telah membuat 1,083 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati 38 tapak pembinaan patuh SOP yang ditetapkan, 14 tapak pembinaan tidak dan diberi nasihat, manakala sembilan tidak beroperasi semalam.
Berhubung pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP, Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendapati 1,664 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 33 lagi diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!