SPRM ambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang

Kon Yeow melambai tangan kepada media sebelum memasuki Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang pagi tadi.
Kon Yeow melambai tangan kepada media sebelum memasuki Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung projek terowong dasar laut pagi tadi.

Kon Yeow yang ditemui media di luar bangunan SPRM berkata, beliau diminta untuk menceritakan latar belakang beliau termasuk bidang kuasa Exco yang disandangnya sebelum ini dalam tempoh satu setengah jam pertama.

"Saya telah memberi keterangan kepada SPRM sejak jam 9 pagi dan fokusnya ialah projek terowong dasar laut, pengesahan keputusan Exco terhadap projek tersebut dan beberapa hal lagi.

"Ia satu proses yang agak lama kerana satu setengah jam, saya perlu menaip sendiri tentang latar belakang saya. Itu sahaja," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Kon Yeow tiba di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini dengan menaiki kenderaan rasmi miliknya kira-kira jam 8.55 pagi dan selesai memberi keterangan berhubung projek mega bernilai RM6.3 bilion itu pada jam 1.18 tengah hari.

Ditanya sama ada beliau perlu datang semula untuk proses merakam keterangan, Kon Yeow berkata, pihak SPRM tidak memberi sebarang arahan berhubung perkara itu kepadanya.

"Tak ada (mereka tidak mengarahkan saya datang semula). Hari ini mereka kata habis dah," katanya.

Semalam, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dipanggil untuk memberi keterangan berhubung projek sama.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Chong Eng akui disoal mengenai terowong dasar laut, lebuh raya

Pada Sabtu lalu, SPRM telah mengambil keterangan bekas Exco Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Datuk Lim Hock Seng.

Pada hari sama, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew Gim Eam yang direman empat hari sejak 1 Julai lalu dibebaskan tanpa syarat.

SPRM turut hadir ke beberapa pejabat Exco Kerajaan Pulau Pinang pada Selasa minggu lalu antaranya Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dan Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini untuk mendapatkan maklumat mengenai dokumen berhubung projek tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!