Tak pernah lemahkan semangat Vardy
PENGENDALI Leicester City, Brendan Rodgers mengakui pihaknya tidak pernah cuba untuk melemahkan semangat pemain bintang Jamie Vardy kerana dia dilihat sudah tidak begitu garang ketika di depan gawang lawan.
Menurut Rodgers, Vardy tetap seorang pemain yang agak 'nakal' ketika beraksi di padang dan ia dibuktikan menerusi jaringan gol ke-101 pada aksi berdepan Crystal Palace, baru-baru ini.
“Jamie sebenarnya tidak melalui hidup dengan sempurna. Dia bergelut ketika usia remajanya, meninggalkan sekolah dan sebagainya. Semua orang tahu dia seorang yang agak nakal namun pada awal 20-an lalu, dia sudah mula terlibat dengan bola sepak.
"Kini dia telah berkeluarga dan memiliki kehidupan yang baik du luar padang. Saya bertuah mendapatkan khidmatnya pada ketika dia sudah mula berdisiplin dan dia agak mudah untuk diuruskan.
"Paling penting, dia memang memiliki semangat luar biasa yang memang sukar untuk dihapuskan," katanya.
Pada aksi berdepan Crystal Palace Vardy meledak dua gol untuk menjadikan jumlah jaringannya kepada 21 gol berbanding pemain Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang yang hanya menjaringkan 19 gol setakat ini.
Sementara itu Rodgers berkata, berdasarkan aksi cemerlangnya, Vardy boleh diibaratkan sebagai pemain lagenda bagi kelab berkenaan.
Katanya, biarpun memulakan karier bola sepaknya pada usia yang agak lewat iaitu pada 27 tahun, Vardy tetap membuktikan keupayaannya bagi membantu pasukan.
"Setiap hari dia tampil dengan penuh bersemangat. Pencapaiannya juga agak luar biasa apabila berjaya menjadi pemain profesional biarpun pernah di tolak menjadi pemain ketika usia muda.
"Kerana kelajuan dan ketajamannya, dia sebenarnya adalah seseorang yang memiliki bakat yang luar biasa. Dia sentiasa 'lapar'kan kejayaan dan sentiasa mahu meningkat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!