Tiada penularan dalam kalangan ahli keluarga individu dikuarantin

Dr Noor Hisham -Foto Bernama
Dr Noor Hisham -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Sejak Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dikenakan terhadap rakyat negara ini dan pemastautin tetap yang pulang dari luar negara, tiada kes penularan Covid-19 berlaku dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan tanda awal yang positif dalam pelaksanaan perintah HSO.

"Sukacita dimaklumkan sejak pelaksanaan HSO ini, belum ada lagi penularan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan ahli keluarga individu yang positif wabak itu setelah menjalani perintah itu di rumah masing-masing," katanya.

Bagaimanapun katanya, jangkitan wabak itu tertakluk sepenuhnya kepada kepatuhan terhadap HSO yang ditetapkan agar tidak berlaku risiko jangkitan di dalam komuniti.

"Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru pengembara yang pulang ke Malaysia supaya terus memberi kerjasama kepada kami dan patuh terhadap syarat di bawah perintah ini agar usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 berjaya sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 647 kes import positif Covid-19 berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia dan pemastautin tetap yang dikesan sejak 3 April lalu.

"Pada 1 April, kerajaan memutuskan semua yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan tersebut merupakan langkah kawalan dan pembendungan penularan kes import jangkitan Covid-19 daripada menular dalam komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diingatkan terus kekal waspada dan amalkan nasihat kesihatan seperti disyorkan oleh KKM," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!