Bunyi burung puyuh takutkan penduduk di kawasan pergunungan
BEIJING - Ribuan penduduk di wilayah Guizho, China bertindak melarikan diri berikutan bunyi misteri yang mencetuskan panik, lapor portal Expres.co.uk pada 5 Julai lalu.
Gambar-gambar menunjukkan penduduk bergerak dalam jumlah yang ramai di kawasan pergunungan Xiushi tenggara wilayah Guizhou baru-baru ini selepas mendengar bunyi tersebut sebelum ia tersebar di media sosial.
Video rakaman kejadian itu akhirnya tersebar di Twitter dan para penggunanya kemudian membuat spekulasi tentang bunyi bising tersebut.
Beberapa pengguna laman sosial itu menyatakan ia mungkin daripada garis sesar di belakang kampung tersebut sehingga mencetuskan rasa takut bahawa satu gempa bumi akan berlaku.
Sementara itu, pengguna lain membuat tanggapan ia mungkin bunyi daripada seekor haiwan liar kerana bunyi tersebut pernah kedengaran di China.
Para pegawai Guizhou kemudian bertindak menghantar pasukan pakar untuk menyiasat tentang perkara tersebut selepas video yang menunjukkan penduduk melarikan diri tular di media sosial.
Ahli-ahli zoologi pula kemudian mengesahkan bunyi ganjil itu berasal dari seekor burung yang kecil,
Burung itu mempunyai sepasang kaki yang berwarna kuning dan dikenali sebagai burung puyuh dan mempunyai saiz sebesar sikit daripada burung pipit.
Walaupun mempunyai saiz kecil, burung tersebut mengeluarkan bunyi yang kuat.
Portal The Science Times melaporkan, beberapa pengguna di laman sosial menganggap bunyi tersebut berasal dari seekor harimau dan naga.
Sekatan jalan terpaksa dilakukan oleh polis bagi mengelak orang ramai berkumpul di lokasi kejadian.
Pada 20 Jun lalu, penduduk di kawasan tersebut mendengar bunyi ganjil itu yang datang dari kawasan atas pergunungan tersebut.
Dalam satu rakaman video, penduduk dilihat berhimpun untuk mendengar bunyi berkenaan.
Sebahagian penduduk pula teruja dengan mendakwa mereka mendengar bunyi berderam daripada makhluk misteri.
Sementara itu, semasa sesi mengawan, bunyi burung puyuh itu boleh didengar sejauh 100 meter.
Seorang guru sekolah, Liu Fuqiong mengaku melihat burung tersebut mengeluarkan bunyi yang ganjil.
Katanya: "Haiwan itu mengeluarkan dua atau tiga kali bunyi setiap enam atau tujuk minit. Bunyinya cukup mendalam. Saya anggap ia amat ganjil." - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!