Pekerja asing bagai kacang lupakan kulit

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SEORANG pemuda dipercayai warga Bangladesh dikecam hebat gara-gara laporan dokumentari rangkaian televisyen Qatar, Al-Jazeera yang didakwa cuba memburukkan Malaysia di mata dunia berhubung layanan terhadap pendatang asing ketika Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.

Dalam video dokumentari bertajuk Lock Up in Malaysia’s Lockdown itu, individu dikenali sebagai Rayhan Kabir antara lain mendakwa kerajaan melayan pekerja migran seperti haiwan semasa ditahan.

Rata-rata pengkritik menyifatkan pekerja Bangladesh itu ibarat kacang lupakan kulit lebih-lebih lagi negara ini sudah menyediakan peluang pekerjaan kepadanya yang jauh lebih baik berbanding di negara asal.

Di Bangladesh, kira-kira 50 juta daripada 164 juta penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan.

Data Bank Dunia pada tahun 2010 menunjukkan sebanyak 18.5 juta orang hidup dengan pendapatan kurang RM8 sehari.

Malaysia sememangnya memerlukan pekerja asing yang sah bagi mengisi pekerjaan pembangunan negara namun tiada negara di dunia yang membenarkan warga asing tanpa dokumen hidup bebas di negara mereka.

Malah, negara jiran, Singapura mengenakan hukuman rotan ke atas pendatang manakala Malaysia sekadar mengenakan hukuman denda dan pengusiran balik.

Sejak sekian lama juga, media asing sering menyebarkan berita yang memburukkan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Lebih malang, terdapat segelintir rakyat Malaysia sendiri termasuk pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang tanpa segan silu memanipulasi media asing demi agenda sendiri.

Dalam kes terbaharu ini, mungkinkah ada pihak tertentu yang mempergunakan Al-Jazeera?

Tuduhan yang tidak berasas sehingga menjejaskan imej Malaysia membuktikan betapa biadabnya sesetengah warga asing ini.

Jika tiada tindakan susulan, dikhuatiri akan menjadi satu kebiasaan warga asing atau rakyat untuk menghina dan menfitnah Malaysia!

Pada masa yang sama, sikap masyarakat kita harus dikawal, khususnya luahan yang dizahirkan menerusi media sosial seolah-olah semua warga asing di negara ini bersalah.

Pekerja asing wujud hampir di semua negara di dunia termasuk pekerja dari Malaysia. Cumanya mereka bukan sahaja perlu mematuhi undang-undang dan menghormati budaya tempatan, malah harus menjaga nama baik negara asal.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!