Jerebu Bangkok semakin buruk
BANGKOK - Keadaan jerebu di Bangkok semakin buruk dengan partikel bahaya akibat pencemaran dikesan di beberapa bahagian ibu negara itu, lapor agensi berita Xinhua pada Selasa.
Jabatan Kawalan Pencemaran melaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, purata paras partikel pencemar udara mencatat julat antara 51 hingga 93 mikrogram bagi meter padu udara berbanding angka selamat 50 mikrogram.
Indeks kualiti udara Bangkok pada Selasa pagi adalah 122 dan disifatkan sebagai tidak sihat bagi sesetengah penduduk.
Bacaan di bawah 50 dianggap selamat manakala bacaan melebihi 300 amat bahaya.
Keadaan tidak berangin mungkin menjadi punca kualiti udara buruk di lima kawasan kota raya itu, mencetuskan kembali perbahasan untuk mengehadkan kadar pelepasan asap kenderaan.
Pejabat Pentadbiran Kota Raya Bangkok menyatakan ia akan membeli lebih banyak bas hijau yang menggunakan bahan api bio-diesel lebih bersih.
Polis pula mengadakan lebih 20 sekatan jalan raya bagi menghalang lori besar memasuki Bangkok pada waktu puncak.
Ketika partikel bahaya dalam udara semakin tersebar luas selain tidak banyak usaha dilakukan kerajaan, ramai ahli akademik mahu ibu negara itu diisytiharkan sebagai zon kawalan pencemaran, bagi membolehkan agensi berkaitan menguatkuasakan peraturan pelepasan asap lebih ketat dan mengambil langkah melindungi kesihatan penduduk. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!