Tiada halangan sekolah, PIBG beli sendiri
SHAH ALAM - Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) tidak mempunyai halangan untuk pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membeli pengimbas haba inframerah menggunakan dana sendiri.
Pengarahnya, Izmi Ismail bagaimanapun berkata, buat masa ini hanya pengimbas haba yang biasa dibekalkan di sekolah-sekolah.
“Buat masa ini di setiap sekolah kita bekalkan pengimbas haba biasa dan bukannya jenis yang berteknologi tinggi disebabkan kos yang mahal.
“Saya melihat tidak ada satu keperluan mendesak untuk mendapatkan pengimbas haba berteknologi tinggi ini. Bagaimanapun, kita tidak halang sekiranya sekolah ada bajet sendiri untuk membelinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Sebelum ini, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berpandangan penggunaan alat pengimbas haba inframerah akan mengelakkan tugas hakiki guru sekolah terganggu.
Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, penggunaan alat pengimbas suhu digital biasa memerlukan guru untuk memantau tugas saringan suhu badan murid yang dilakukan pengawal keselamatan.
Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru iaitu sekolah yang mempunyai kepadatan pelajar yang tinggi di negara ini, Izmi berkata, pelbagai langkah akan diambil oleh pihak sekolah dan jabatan dalam memastikan kelancaran ketika pembukaannya kelak.
“SMK Meru akan menyediakan 20 kaunter untuk ambil suhu pelajar. Seramai 2,000 pelajar bagi satu sesi dan purata satu kaunter untuk 100 pelajar.
“Setakat ini perancangan yang diambil amat rapi. Semua ini kita akan lihat pada 15 Julai nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!