Khalid tak kesal lelong Kasut Emas

Anugerah Kasut Emas dimenangi Khalid ketika bersama Perak. Foto: FB Khalid Jamlus
Anugerah Kasut Emas dimenangi Khalid ketika bersama Perak. Foto: FB Khalid Jamlus
A
A
A

TIADA rasa kesal dalam lubuk hati bekas penyerang berbisa skuad kebangsaan, Khalid Jamlus apabila melelong trofi Kasut Emas miliknya dengan harga bidaaan yang mencecah RM40,000 baru-baru ini.

Sebaliknya, Khalid, 43, mengakui ‘situasi mendesak’ menjadi antara penyebab dia terpaksa melelong Kasut Emas yang dimenanginya itu ketika muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Satu pada musim 2002.

“Saya tidak pernah ada rasa menyesal apabila membuat keputusan melelong Kasut Emas itu. Bagi saya, Kasut Emas yang dimenangi itu adalah hasil titik peluh saya sendiri.

“Saya bertungkus-lumus untuk mencapai kejayaan itu (meraih Anugerah Kasut Emas). Tidak lupa juga, kejayaan itu juga adalah hasil bantuan rakan-rakan sepasukan saya ketika itu.

“Jadi tidak timbul sebarang rasa kesal atau kecewa kerana apa yang saya lakukan ini hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup saya dan juga keluarga,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nama Khalid yang kini dijulang sebagai antara pemain legenda Perak tiba-tiba ‘meletup’ sejak beberapa hari lalu selepas dia bertindak melelong beberapa barangan istimewa miliknya termasuk jersi, medal dan poster.

Begitupun, Khalid pantas menafikan ‘cakap-cakap belakang’ yang mengatakan dia bertindak sedemikian hanya semata-mata mahu meminta belas simpati orang ramai.

“Tidak, saya tidak pernah berniat pun untuk sengaja meraih simpati pihak di luar sana, apatah lagi mahu mencari publisiti murahan. Ini bukan niat saya apabila mula-mula nekad membuat keputusan melelong Kasut Emas.

Artikel Berkaitan:

“Saya sedar ada pihak di luar sana yang marah dan kecam saya apabila bertindak melelong Kasut Emas dan barangan peribadi lain menerusi siaran langsung di laman sosial Facebook Jumaat lalu.

“Tetapi ingin saya tegaskan, saya bukan mengemis duit orang, malah saya juga tidak pernah meminta-minta. Apa yang saya lakukan itu juga tidak menyalahi undang-undang,” jelasnya.

Khalid memberitahu, niat asalnya ‘melepaskan’ beberapa barangan itu yang dianggap mempunyai nilai sentimental tersendiri lebih kepada menampung urusan perbelanjaannya sekeluarga.

“Bagi yang belum tahu, saya tidak mempunyai komitmen kerja yang tetap selepas kali terakhir saya memikul tugas sebagai penolong jurulatih skuad PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Jadi situasi saya lebih terdesak ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu. Daripada situ, tercetusnya idea untuk melelong beberapa barangan peribadi sepanjang karier saya,” ujarnya. “Mengenai tindakan saya melelong Kasut Emas itu, memang saya dah berbincang dengan seseorang dari Pantai Timur dan beliau bersetuju dengan harga RM40,000. Cuma saya minta jasa baik beliau tangguh dulu hasratnya itu sehingga Ahad ini.

“Sekiranya tiada sesiapa tampil menyelamatkan keadaan dalam tempoh beberapa hari ini, maka saya akan terus dengan niat saya untuk melelong Kasut Emas itu kepada beliau,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!