FAM henti proses naturalisasi Kalonda
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan badan induk itu telah menamatkan usaha menaturalisasikan pemain Congo, Marcel Kasongo Kalonda selepas mendapati dokumen penting yang dikemukakan pemain berkenaan memiliki maklumat tidak sahih.
FAM dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas FAM membuat semakan dan pengesahan dokumen berkaitan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Persekutuan Bola Sepak Congo (Fecofoot) dan wakil konsulat Congo di Malaysia.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM tegas dalam proses pengesahan status pemain serta tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum barisan pakar teknikal membuat penilaian terhadap prestasi seseorang pemain.
"FAM telah menerima surat maklum balas daripada JPN memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.
Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya," katanya.
Kalonda yang beraksi di posisi pertahanan sebelum ini dikatakan memiliki darah campuran Malaysia sebelum beberapa laporan media tempatan memetik pemain berusia 22 tahun itu mendakwa bapa dan datuknya berasal dari Sabah.
Justeru FAM berkata, semua pihak perlu lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebar sesuatu berita selain menegaskan seseorang pemain itu perlu melalui proses pengesahan dokumen sebelum menyarung jersi Harimau Malaya.
"FAM ingin menasihatkan semua pihak terutama netizen dan peminat bola sepak negara supaya tidak terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita mengenai seseorang pemain itu mempunyai darah campuran Malaysia kerana perlu melalui proses pengesahan dokumentasi terlebih dahulu," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!