Langkah unjurkan semula garis kemiskinan keputusan tepat

Dr Asan
Dr Asan
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan untuk melakukan unjuran semula garis kemiskinan nasional adalah keputusan tepat sekali gus akan memanfaatkan rakyat terutama kepada golongan terpinggir.

Pakar Ekonomi dari Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Asan Ali Golam Hassan berkata, pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang digunakan kini ialah RM960 di Semenanjung RM960 manakala RM1,180 untuk Sabah dan Labuan serta RM1,080 di Sarawak.

Menurutnya, PGK atau kemiskinan mutlak itu berasaskan konsep secukup hidup, ia meliputi pendapatan minimum yang diperlukan oleh sebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan makanan dan bukan makanan, ia diubahsuai setiap tahun dan mengikuti kriteria yang ditetapkan oleh pihak United National Development Programme (UNDP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya PGK meliputi dua item, makanan dan bukan makanan. Item makanan adalah berdasarkan kepada 8,725 kilo kalori sehari bagi model lima ahli isi rumah manakala item bukan makanan meliputi pakaian, perumahan, barangan tahan lama, pengangkutan dan perbelanjaan lain.

"PGK setiap isi rumah berbeza berdasarkan kepada bilangan ahli isi rumah (saiz isi rumah), komposisi umur ahli isi rumah, komposisi jantina ahli isi rumah dan lokasi, iaitu bandar atau luar bandar.

"Perkara ini telah dibincangkan dalam kalangan penyelidik berkaitan pendapatan, agihan pendapatan dan kemiskinan sejak awal 2010 lagi kerana PGK ini berdasarkan kajian metodologi 2005, makanan dan bukan makanan pada tahun 2005 pastinya telah berbeza mengikut perubahan masa dan gaya hidup untuk tahun 2010 dan kini 2020," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, Dr Asan memberitahu, pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston pada Ogos 2019 menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

"Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Insiden kemiskinan 0.4.peratus adalah data purata Malaysia berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas, 2016, ia semakin berkurangan berbanding 0.6 peratus pada 2014.

"Jika 15 peratus bermaksud kadar kemiskinan hampir sama dengan kadar kemiskinan purata Malaysia 1989 (16.5 peratus); kadar kemiskinan Malaysia-Bandar 1976 (15.4 peratus) dan kadar kemiskinan Malaysia-Luar Bandar 1995 (14.9 peratus)," katanya.

Jelas beliau, angka kemiskinan yang realistik mungkin tidak sampai 15 peratus, bagaimanapun dijangka lebih besar daripada 0.4 peratus dalam Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"Ambil contoh di Wilayah Persekutuan (WP) KL, PGK ialah RM1,422 dan persoalannya adakah RM1,422 ini mencukupi untuk sebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan makanan dan bukan makanan?

"Jika kita lihat kepada kadar kemiskinan di WP KL pula, ia telah berkurangan daripada 4.9 peratus pada 1984 kepada 1.5 peratus pada 2004 dan seterusnya kepada 0.0 peratus tahun 2016, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, muka surat 134, Jadual 6.6.

"Persoalannya adakah angka 0.0 peratus kadar kemiskinan WP KL ini juga realistik?," kata beliau.

Menurutnya, dengan unjuran semula paras kemiskinan itu akan memanfaatkan keseluruhan rakyat terutama tiga golongan rakyat.

Katanya, golongan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu pertama, miskin tidak produktif kerana tidak boleh bekerja mungkin atas faktor kesihatan dan sekarang dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi agama.

"Kedua, miskin produktif di mana mereka tergolong dalam usia yang masih mempunyai daya produktif untuk bekerja tetapi tidak berpeluanh untuk memperoleh pekerjaan dan mereka dibantu kerajaan dengan pemberian pinjaman mikro kredit dan sebagainya.

"Ketiga adalah golongan mudah jadi miskin berdasarkan faktor di luar kawalan contohnya bila berlaku krisis ekonomi ada golongan yang diberhentikan kerja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!